SIARAN AKHBAR

21 Sep 2018
JUALAN EKSPORT PROTON MENINGKAT
Tanjung Malim, 20 September 2018 – PROTON mencatat satu lagi aktiviti eksport bagi 2018 di dalam satu majlis pelepasan di kilang Tanjung Malim hari ini.

Sebanyak 225 buah kereta Proton akan dihantar pada 22 September 2018 melalui Pelabuhan Utara, Klang dan dijangka tiba di Pelabuhan Alexandria, Cairo pada 6 Oktober. Setibanya di sana, kereta-kereta tersebut akan dikendalikan oleh pengedar PROTON di Mesir iaitu Alpha Ezz El-Arab yang akan memasarkan kereta Proton melalui tujuh cawangan dan pengedar.

Membina semula jenama

Majlis yang diadakan di Tanjung Malim ini menandakan eksport pertama kereta-kereta Proton ke Mesir sejak hampir tiga tahun dahulu. Eksport yang terakhir merangkumi 320 unit kereta Proton Gen 2 dan Persona, yang telah dihantar pada Disember 2015 sebelum penyusutan nilai mata wang tempatan yang telah menjadi penghalang untuk meletakkan harga yang kompetitif bagi kereta-kereta tersebut. Usaha-usaha yang dipamerkan oleh pengedar dan eksport alat-alat ganti yang berterusan telah memastikan keperluan pengguna-pengguna tempatan dapat dipenuhi sementara menunggu pemulihan ekonomi.

Dengan keadaan pasaran yang bertambah baik, PROTON kini berpeluang untuk melakukan semula aktiviti-aktiviti eksport dan memanfaatkan pasaran automotif yang dijangka akan mengalami pertumbuhan ketara pada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dalam masa beberapa tahun akan datang. Untuk menguatkan lagi kehadirannya adalah melalui tiga model keretanya yang akan diperkenalkan di pasaran tempatan ditambah dengan penambahbaikan kualiti pada produk selepas pelaksanaan proses-proses pengauditan produk yang digunapakai oleh Geely.

“PROTON berasa teruja kerana berpeluang untuk mengeksport kereta-keretanya di pasaran yang pada masa dahulu telah terbukti menjadi pilihan pembeli. Pembeli-pembeli di negara itu menghargai keselamatan, keutuhan dan nilai harga jualan semula yang tinggi yang ada pada kereta-kereta Proton, iaitu kualiti yang terbukti pada ketiga-tiga model yang bakal dilancarkan di Cairo pada Oktober nanti. Untuk memastikan stok yang mencukupi, pengedar telah menempah 280 unit lagi yang akan dihantar bulan hadapan dengan sasaran sebanyak 1,000 buah kereta dalam tahun 2018,” kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Selain meneruskan penjualan kereta baharu di Mesir, Alpha Ezz El-Arab juga akan memperkenalkan Identiti Korporat baharu PROTON di tiga cawangan. Ini adalah langkah penting yang diambil kerana mereka merupakan pengedar luar negara yang pertama menggunakan Identiti Korporat baharu PROTON di bilik-bilik pameran.

“Langkah untuk menggunakan Identiti Korporat baharu menunjukkan pengedar kami bergerak seiring dengan matlamat kami untuk mewujudkan pengalaman jenama dan imej PROTON yang konsisten di peringkat antarabangsa. Ia juga membantu kami meningkatkan jualan kereta Proton di Mesir yang telah mencapai lebih daripada 13,000 unit sejak 2004,” tambah beliau.

Tumpuan pada usaha-usaha eksport

Salah satu daripada kunci-kunci utama yang telah dikenalpasti untuk mengukuhkan perniagaan PROTON adalah melalui pasaran eksport. Oleh itu, langkah-langkah penting telah diambil kira untuk memastikan pelan untuk meningkatkan jualan eksport dapat dilaksanakan dan ini termasuklah kajian untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti CKD di negara-negara lain. Ini akan membantu di dalam pasaran di mana PROTON bersaing bersama jenama-jenama yang menubuhkan operasi CKD dan membuka peluang untuk mewujudkan hab serantau.

"Memandangkan PROTON berusaha untuk memacu inisiatif eksportnya ke hadapan, adalah penting untuk mewujudkan aktiviti CKD serantau bagi meningkatkan jenama dan jualan. Ia juga akan menambahbaik penjimatan kos kami dan membantu mempercepatkan kemasukan ke pasaran baharu. Walau bagaimanapun, pada masa kini, kilang PROTON di Tanjung Malim serta kilang Perusahaan Otomobil Nasional di Shah Alam akan kekal menjadi keutamaan kerana ia akan menghasilkan kereta-kereta yang diperlukan untuk memenuhi pasaran eksport dengan tepat pada masanya," kata Dato' Radzaif.

 

Encik Abdul Rashid Musa, CEO of PROTON Edar, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof, CEO of Northport (Malaysia) Bhd, Dato’ Radzaif Mohamed, DCEO of PROTON, Mr Satoshi Yamaguchi, Managing Director of Mitsui OSK Lines (Asia Oceania), Mr Yoshiya Inamori, Vice President Of Manufacturing PROTON, Steven Xu Yuan, Director of International Sales PROTON.

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun