SIARAN AKHBAR

22 Aug 2019
PASUKAN PROTON R3 UMUM PENCARIAN PELUMBA WANITA DAN PROGRAM MENTOR

Subang Jaya, 22 Ogos 2019 – Pasukan PROTON R3 (R3) di bawah divisyen perlumbaan PROTON, mengumumkan pencarian pelumba-pelumba wanita serta program mentor untuk satu pasukan perlumbaan yang akan bersaing di dalam siri Malaysia Speed Festival (MSF). Program ini mendapat kerjasama MSF yang merupakan acara sukan permotoran terbesar di Malaysia. Kedua-dua program ini bermatlamat untuk membangunkan sukan permotoran di peringkat akar umbi dengan memanfaatkan kelebihan pengalaman dari pasukan R3 yang telah lama berkecimpung di dalam pelbagai acara perlumbaan.

 

Menyumbang kembali kepada komuniti perlumbaan Malaysia

R3 adalah satu-satunya pengeluar yang menyokong pasukan perlumbaan di Malaysia dan dengan pengalaman selama lebih 15 tahun, pasukan prestasi PROTON ini mempunyai reputasinya yang tersendiri. Kejayaan mereka ditonjolkan melalui kemenangan dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) dan di Kejohanan Rali Dunia (WRC). Bagi dalam negara pula, pasukan ini secara keseluruhannya mencatatkan dua kemenangan di dalam Merdeka Millennium Endurance (MME) serta empat kemenangan di Sepang 1000KM (S1K), rekod yang tidak dapat ditandingi oleh jenama automotif lain.

 

Dengan pelbagai kemenangan yang dimiliki, R3 kini berharap agar dapat berkongsi pengalamannya melalui Pencarian Pelumba Wanita MSF-R3 serta Program Mentor MSF-R3. Tujuan program ini adalah untuk membolehkan pemandu dan pasukan perlumbaan Malaysia mendapat akses kepada pelbagai maklumat, pengurusan pasukan dan teknik pembangunan kereta yang akan membantu meningkatkan prestasi mereka dan seterusnya membawa mereka agar lebih cemerlang di peringkat kebangsaan. Ini juga merupakan peluang untuk mencari pelumba wanita yang berbakat dan mengembangkan karier mereka dengan membuka ruang kepada mereka masuk di bidang yang didominasikan oleh lelaki.

 

Meletakkan wanita di sebalik stereng dan membimbing pasukan perlumbaan

Meskipun Malaysia mempunyai ramai pemandu perlumbaan bersaing di pelbagai acara di peringkat serantau dan antarabangsa, hampir kesemuanya adalah pemandu lelaki. PROTON dan R3 ingin mengubah naratif tersebut dan memberi pemandu wanita peluang untuk menyerlah di dalam sukan permotoran dan dengan itu tercetusnya idea Pencarian Pelumba Wanita MSF-R3.

 

Dari kesemua peserta, tiga daripada mereka akan diberi peluang untuk berkembang sebagai pemandu perlumbaan dan turut serta di perlumbaan S1K tahun 2019, memandu sebuah jentera yang dipersiapkan oleh Pasukan PROTON R3. Pemilihan adalah berdasarkan prestasi peserta dalam satu siri aktiviti memandu di luar dan dalam litar serta turut dinilai dari tahap disiplin, kerja berpasukan dan komitmen selain dari kemahiran mereka di sebalik stereng.  

Bagi program mentor pula, pemandu dan pasukan terpilih yang bersaing di dalam perlumbaan MSF SuperTurismo menggunakan kereta-kereta Proton akan dibantu oleh kakitangan Pasukan PROTON R3 untuk tiga lagi acara perlumbaan tahun ini. Walaupun setiap pasukan perlu melakukan persiapan sendiri pasukan R3 akan menyediakan ilmu teknikal kepada pasukan sebelum dan semasa perlumbaan, agar dapat meningkatkan prestasi mereka dan mengekalkan etika industri terbaik.

 

"Pasukan PROTON R3 mahir dengan pelbagai pengetahuan kerana pengalaman kami yang telah lama terlibat dalam bidang perlumbaan. Pada masa yang sama, kami mahu lebih penglibatan dari peringkat akar umbi kerana kami merasakan bahawa PROTON dan R3 perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan sukan permotoran di Malaysia. Kedua-dua program ini akan membolehkan kami terlibat dalam dua acara secara serentak disamping dapat membuktikan keupayaan kereta Proton untuk bersaing di dalam perlumbaan," kata Gary Lee, ketua Pasukan Proton R3.

 

"Di PROTON, kami menghargai budaya persaingan dan sedar bahawa kereta kami masih menjadi pilihan di semua peringkat perlumbaan. Kami melabur untuk bersaing dalam acara tempatan dan antarabangsa kerana kami percaya bahawa sukan permotoran adalah tempat yang sesuai untuk melahirkan seorang jurutera terbaik. Pencarian pelumba wanita dan program mentor ini hanyalah permulaan dan kami berharap usaha ini akan mendorong lebih banyak penglibatan syarikat-syarikat automotif lain untuk menaikkan lagi perlumbaan tempatan," kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

 

Pemandu dan pasukan terpilih bagi pelumba Program Mentor MSF-R3: 

Mohd Hafiz Saad #248

Nik Shahrul Fadli Nik Mansor #141

Alban Raymond De Sauza #16

Muhammad Faishal Bin Othman #180

Md. Shah Hashim #387

 

Peserta Pencarian Pelumba Wanita MSF-R3:

Ng Aik Sha

Samanda Lee

Nurul Husna Nasharuddin

Nursharina Nor Ramlle

Dayangku Faratiwan Adnil

Rozana Rahmat

Umi Nasirah Sulaiman

Zaidah Mohd Ishak

Nor Azirah Mohd Azhar

- Tamat -

 

 

 

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun