SIARAN AKHBAR

28 Feb 2019
PROTON MEMPERTONTON IRIZ 2019 KEPADA MEDIA MALAYSIA

Subang Jaya, 28 Februari 2019 – Proton Iriz 2019 diperlihatkan secara rasmi kepada media Malaysia. Dengan reka bentuk luaran yang diberi nafas baharu serta dilengkapi unit stereo pintar sama yang diperkenalkan pada Proton X70, model hatchback segmen-B PROTON ini merupakan model pertama dalam rangkaian semasa Syarikat yang mendapat sentuhan terkini selepas pengumuman kerjasama bersama Geely. Pelancaran rasmi model Iriz ini dijangka pada Mac 2019.

Rekaan pintar yang mengujakan

Garisan-garisan pada Iriz adalah hasil usaha oleh sebuah pasukan yang diketuai oleh ketua Reka Bentuk PROTON, Azlan Othman, yang memanfaatkan kepakaran pusat reka bentuk antara syarikat kumpulan Geely untuk menghasilkan wajah baharu yang canggih dan menarik.

Semasa pembentangannya kepada media, Azlan menjelaskan bahawa model ini direka untuk menggambarkan kecerdasan dengan rupa yang sporty, sesuai dengan slogan model itu iaitu Kepintaran yang Mengujakan. Azlan turut menyebut mengenai penggunaan unsur-unsur penggayaan atau styling bagi mewujudkan hubungan visual dengan model-model Proton yang lain.

 

Pada rekaan hadapan kereta ini, terdapat lampu depan halus yang dipadankan dengan gril baharu yang menonjol. Bentuk bar krom diilhamkan melalui reka bentuk "Ethereal Bow" sementara gril radiator pula mempunyai corak "Infinite Weave", yang turut dihiasi logo Proton. Terdapat juga bampar depan baharu yang menyerlah dilengkapi dengan gril radiator bawah yang lebih terkini serta lampu siang (DRL) yang menambahkan lagi sentuhan mewah pada reka bentuk model ini secara keseluruhan.

Pada reka bentuk bahagian belakang pula, perkataan PROTON kini tampak lebih jelas yang diletakkan pada bahagian tailgate yang sebelum ini diletakkan dengan logo. Secara visualnya, ia kelihatan lebih lebar, kesan yang lebih ketara pada bampar belakang dengan garisan menegak beserta garisan bampar baharu. Sentuhan akhir termasuklah pada nama Iriz yang ditaip menggunakan huruf baharu unik, antena sirip yu dan rim aloi dengan reka bentuk bilah yang baharu.

Unit Stereo pintar yang menyambungkan anda kepada dunia luar

Iriz 2019 merupakan hatchback segmen-B pertama di Malaysia yang menampilkan unit stereo pintar yang menggunakan kad eSIM dan menawarkan aplikasi seperti pengaliran muzik, sistem navigasi dan pengecaman suara. Akses kepada aplikasi ini serta fungsi-fungsi lain adalah melalui skrin sentuh antara muka bersaiz 7-inci dengan paparan warna penuh dan memori dalaman sebanyak 16GB. Dengan menggunakan sistem sama yang ada pada Proton X70, Iriz ini turut dilengkapi dengan sambungan Wi-Fi agar ia boleh digunakan sebagai hotspot mudah alih atau menyambungkan Wi-Fi dalam jarak jangkauannya. Turut ditawarkan adalah kebolehan pencerminan bagi telefon mudah alih Android.

"Selepas perasmian Proton X70, Proton Iriz 2019 akan menjadi model Proton kedua yang dilengkapi dengan unit  stereo pintar yang menawarkan fungsi seperti arahan suara, navigasi dan pengaliran muzik. Ia juga menggunakan kata laluan yang sama iaitu Hi Proton! untuk mengakses sistem. Justeru itu anda boleh mengatakan bahawa oleh kerana Proton X70, Proton Iriz ini diinspirasikan untuk menjadi model yang pintar," kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

Promosi kilat akan diadakan menjelang pelancaran rasmi

PROTON akan mengadakan 'jualan kilat' bagi model Iriz 2019 di mana pembeli yang berminat boleh membuat tempahan dalam talian dengan hanya RM9.99. Dengan berbuat demikian, PROTON turut akan memberi ganjaran dengan cukai jalan percuma selama dua tahun sebagai tanda penghargaan apabila mereka menempah Iriz ini sebelum ianya dilancarkan. Promosi bermula jam 10 pagi pada 1 Mac 2019 dan berakhir 11.59 malam pada 11 Mac 2019.

"Dengan mengadakan promosi ini, kami mahu membuatkan Iriz 2019 ini lebih mudah dibeli oleh pembeli-pembeli berpotensi. Selain daripada komitmen bayaran yang rendah, kami turut menawarkan kemudahan seperti tempahan secara dalam talian. Bagaimana pun, kemudahan ini ditawarkan untuk masa yang terhad supaya kami dapat menarik minat pembeli untuk membuat tempahan secepat mungkin," tambah Dr Li Chunrong.

Syarikat juga akan mengadakan pratonton pelanggan di beberapa cawangan PROTON Edar untuk memberi orang ramai peluang untuk melihat Iriz 2019 dengan lebih dekat sebelum pelancaran rasmi. Lokasi pertama adalah di pusat PROTON Edar 4S di Chan Sow Lin, di mana aktiviti ini akan diadakan dari 2 - 3 Mac.

-Tamat-

 

 

 

 

 

 

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun