SIARAN AKHBAR

15 Jan 2019
PEMBEKAL PROTON BERKOLABORASI BERSAMA RAKAN KONGSI LUAR NEGARA

Kuala Lumpur, 15 Januari 2019 – Selepas perjanjian kerjasama antara pembekal PROTON dan rakan kongsi luar negara ditandatangani pada 10 Oktober tahun lepas, kini giliran kumpulan kedua pembekal pula bertukar perjanjian kerjasama di satu majlis yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) hari ini.

 

Majlis telah disaksikan oleh YB Dr Ong Kian Ming, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, disertai oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato' Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON dan barisan pengurusan kanan PROTON dan DRB-HICOM.

 

Kerjasama yang membawa pelaburan kepada Malaysia

Bagi kumpulan pertama pembekal, perjanjian kerjasama tersebut meliputi skop dari perjanjian teknikal dan usaha sama  pelaburan asing 100% dengan pembekal luar negara yang melabur secara langsung dalam ekonomi Malaysia. Dianggarkan dengan kerjasama baharu ini akan membawa pelaburan awal sebanyak RM47 juta kepada negara dengan jumlah yang ditetapkan berganda sepanjang tahun seiring dengan peningkatan dalam jumlah pengeluaran PROTON.

 

Selain dari pelaburan pada kemudahan dan teknologi, kerjasama itu juga dijangka dapat menghasilkan kira-kira 450 pekerjaan baharu dalam industri automotif yang terdiri daripada pemasangan sehinggalah kepada reka bentuk kejuruteraan yang memerlukan pekerja mahir. Ini akan membantu mewujudkan asas pembekal yang mampu memenuhi standard teknologi dan kualiti yang diperlukan untuk generasi kereta Proton yang datang yang akan dibangunkan bersama Geely.

 

Para pembekal ini akan membekalkan alat-alat ganti ke kilang pembuatan PROTON di Tanjung Malim, yang kini dalam inisiatif diperbesarkan dengan kos sebanyak RM1.2 billion. Kilang baharu ini dijangka siap pada suku keempat 2019 dengan kereta Proton versi complete-knocked-down (CKD) pertama yang dikeluarkan oleh kilang tersebut.

 

"Program pembangunan pembekal PROTON sedang giat dijalankan dan Syarikat telah berusaha untuk melakukan aktiviti pemadanan dengan mencari rakan kongsi terbaik yang akan memberi manfaat kepada semua pembekal, ekonomi tempatan serta PROTON. Kami yakin dengan membina kerjasama bersama rakan kongsi di luar negara, pembekal tempatan akan berpeluang mencapai standard antarabangsa dari segi kemajuan teknologi dan kualiti dalam jangka masa yang singkat,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

 

"Sekiranya pembekal kami mencapai sasaran mereka, ia akan membolehkan mereka bersaing di peringkat antarabangsa sekaligus mendorong kepada pembangunan komuniti pembekal yang akan membolehkan industri automotif Malaysia bersaing ke peringkat global. Penyertaan dari pembekal juga penting untuk matlamat jangka panjang PROTON, yang akhirnya akan membawa industri ke satu taraf yang mempunyai kebolehan berkelas dunia”, tambah beliau.

 

Lebih daripada 2,000 unit Proton X70 diserahkan selepas lima minggu ianya dilancarkan

Berikutan dengan pelancaran rasmi Proton X70 pada 12 Disember 2018, tempahan bagi model tersebut telah melebihi 15,000 unit. Sehingga hari ini, lebih daripada 2,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan dalam tempoh lima bulan pelancaran SUV tersebut and kini PROTON sedang berusaha untuk mempercepatkan tempoh penyerahan bagi bulan-bulan akan datang.

 

"PROTON amat berterima kasih di atas sokongan rakyat Malaysia terhadap model Proton X70 ini dan kami akan membayar semula jasa mereka dengan menyerahkan kereta-kereta mereka secepat mungkin. Ini merupakan satu permulaan seperti yang diharapkan oleh Syarikat bagi tahun 2019 dan kami berhasrat agar dapat mengekalkan momentum untuk aktiviti-aktiviti Syarikat sepanjang tahun ini," tambah Dato' Radzaif Mohamed.

 

-Tamat-

 

 

 

 

 

 

 

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun