SIARAN AKHBAR

31 Jul 2019
POLITEKNIK PORT DICKSON JUARA DALAM PERTANDINGAN PEMASARAN PROTON

Subang Jaya, 31 Julai 2019Pertandingan Kepintaran yang Memberi Inspirasi atau Intelligence that Inspires Challenge anjuran PROTON telah berakhir pada 29 Julai 2019 dengan penuh keterujaan di Pusat Kecemerlangan PROTON (COE). Sebanyak 12 kumpulan bersaing antara satu sama lain dan membuat pembentangan akhir mereka kepada seramai tujuh orang juri yang terdiri daripada pengurusan kanan PROTON, pakar industri pemasaran dan pengamal media.

 

Pemenang keseluruhan bagi pertandingan ini ialah kumpulan Eureka dari Politeknik Port Dickson yang telah mencuri hati barisan juri dengan idea inovatif mereka serta mempamerkan pembentangan yang baik. Tempat kedua pula ialah kumpulan Alpha dari Taylor's Lakeside Campus manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Alpha Visionaries dari UTAR Kampar.

Pembentangan kepada barisan juri profesional

Untuk memastikan para peserta peringkat akhir ini didedahkan dengan sebanyak mungkin pengalaman sebenar dunia pekerjaan, PROTON telah memanggil pakar-pakar dalam bidang pemasaran dan media untuk menjadi juri. Diketuai oleh Cheng Seng Fook, Pengarah Jualan dan Pemasaran PROTON serta juri-juri dari industri pemasaran iaitu Tuan Abang Jimmy Abang Mordian, Ketua Pemasaran PETRONAS Dagangan, Assoc. Prof Dr Norbani Che Ha, Ketua Jabatan Pemasaran fakulti Perniagaan & Perakaunan di Universiti Malaya dan Encik Devan Perinpanay, Pengurus Negara VM Ware Malaysia.

Pengamal media yang turut menjadi juri ialah Encik Hafriz Shah, Ketua Pengarang di Paultan.org, Encik Gan Yong Li, pengasas dan pemilik laman web Pandulaju.com.my dan Encik Eugene Wong Kang Yen, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Sin Chew Daily.

Setelah meneliti setiap pembentangan, para juri kemudiannya diberi masa untuk berbincang antara satu sama lain sebelum menentukan pemenang. Kumpulan yang mendapat skor keseluruhan tertinggi diumumkan sebagai pemenang dan mereka dipilih tidak semestinya berdasarkan skor tertinggi dari markah setiap juri.

"Tahap pemikiran asli, daya kreativiti dan keyakinan yang ditunjukkan oleh setiap kumpulan di peringkat akhir ini telah memberi kejutan kepada para juri. Kami juga pernah menjadi pelajar seperti mereka jadi kami tahu bahawa untuk membentangkan idea kepada barisan pakar di industri jelas memerlukan banyak latihan dan keyakinan diri. Bagi saya, setiap peserta kumpulan di peringkat akhir ini adalah pemenang yang mempunyai masa depan cerah dalam mana-mana industri yang mereka mahu sertai kelak, jadi saya berasa senang hati untuk melihat masa depan negara kita yang akan diterajui oleh rakyat Malaysia yang sangat pintar," kata Cheng Seng Fook.

PROTON berkongsi sebahagian pelan Syarikat tahun 2020 

Semasa majlis penyampaian hadiah, Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON telah berkongsi pelan atau perancangan masa hadapan Syarikat.

Untuk tahun 2019, jualan telah meningkat sebanyak 61% untuk enam bulan pertama tahun ini, mengatasi semua pesaing industri serta Jumlah Keseluruhan Industri (TIV). Syarikat kini telah mengakhiri tiga bulan berturut-turut di tempat kedua dalam jadual jualan dan kini hanya berada beberapa ratus unit di belakang jenama saingan Jepun iaitu Honda untuk jualan keseluruhan tahun ini. Sasaran seterusnya adalah untuk mengakhiri tahun ini di tempat kedua.

"PROTON mensasarkan untuk menjual lebih daripada 100,000 unit kereta pada tahun 2020 dan kami juga berhasrat untuk mencapai skor tertinggi di dalam kelas bagi Indeks Khidmat Pelanggan (CSI) dan Indeks Khidmat Jualan (SSI). Untuk mencapai matlamat ini, kami juga berniat untuk menambah jumlah cawangan 3S/4S dari 100 kepada 150 sehingga hujung tahun ini. PROTON juga akan terus meningkatkan kualiti produknya dan matlamat jangka panjang kami adalah untuk selari dengan skor pemeriksaan kualiti Geely. Gabungkan unsur-unsur ini dengan pengenalan produk-produk baharu Syarikat, saya yakin PROTON mempunyai pelan yang kukuh untuk kembali berada di atas," kata Dr Li Chunrong.

 

-Tamat-

 

 

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun