SIARAN AKHBAR

17 Sep 2019
PEMANDU PROTON MELAKUKAN CABARAN DENGAN CEKAP

Subang Jaya, 17 September 2019 – PROTON 1 Tank Adventure telah dimulakan dengan pusingan awal yang berlangsung pada hujung minggu Hari Malaysia yang lalu. Seramai 60 orang peserta dengan 30 buah kereta, yang terdiri daripada Proton Iriz, Persona dan Saga 2019, memulakan perjalanan epik meliputi jarak pemanduan sejauh 650km dari Pusat Kecemerlangan PROTON (COE) menuju ke Johor Bahru dan kembali semula ke COE.

 

Pengembaraan perjalanan yang mencabar

Meskipun tujuan utama 1 Tank Adventure ini diadakan adalah untuk PROTON mempamerkan barisan model terbaharunya beraksi berdasarkan persekitaran pemanduan sebenar, keadaan sukar pada hari pertama cabaran ini tidak seperti yang dijangkakan. Dengan gabungan cuti hujung minggu yang panjang serta keadaan cuaca berjerebu menjadikannya ujian sebenar untuk semua peserta di mana mereka perlu sampai ke titik akhir dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Walaupun perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran, setiap kereta berjaya menghabiskan pengembaraan hari pertama tanpa sebarang masalah dan semasa perjalanan tersebut, semua peserta telah dijamukan dengan pelbagai jenis buah-buahan tempatan di Melaka sebelum meneruskan perjalanan ke Perigi Batu Pahat dan Taman Negara Tanjung Piai, iaitu tarikan utama di selatan tanah besar Eurasia . Semua peserta bermalam di Johor Bahru sebelum pengembaraan diteruskan dengan melalui Lebuhraya Utara-Selatan untuk kembali ke Shah Alam.

 

Semua peserta berjaya melengkapkan cabaran 650km menggunakan bahan api seperti ditetapkan, yang merupakan bukti kecekapan bahan api kereta-kereta terkini Proton. Pencapaian maksima terbaik adalah sejauh 809km iaitu pada kereta yang mempunyai tangki minyak sebesar 40 liter. Ini adalah pencapaian yang mengagumkan kerana semua peserta perlu mengekalkan kelajuan purata minimum bagi tujuan keselamatan disebalik cabaran-cabaran yang perlu dihadapi mereka.

 

Keputusan terbaik yang dicapai telah disahkan oleh pemerhati dari Festival Speed Malaysia (MSF) adalah sebanyak 4.98L/100km untuk Proton Saga, 5.43L/100km untuk Proton Persona dan yang terbaik iaitu 4.94L/100km untuk Proton Iriz.

 

Kestabilan pemanduan dan pengendalian PROTON yang menjadi tarikan pelanggan

Selain daripada objektif utamanya iaitu untuk membuktikan kecekapan bahan api pada kereta-kereta Proton, cabaran ini juga dilihat sebagai peluang untuk menonjolkan kelebihan dalam ketiga-tiga produk tersebut yang memainkan peranan penting. Antara ciri yang sering kali dilupakan adalah kestabilan pemanduan dan pengendalian serta ciri-ciri keselamatan yang dipasang pada kereta-kereta tersebut.

Semua peserta menjangkakan bahawa kereta mereka mampu untuk menghadapi cabaran kecekapan bahan api, tetapi hanya segelintir daripada mereka menyedari kemampuan dinamik pada kereta mereka sendiri. Sepanjang perjalanan, kedua-dua pihak media dan peserta awam memuji tentang pengendalian selamat pada model Proton yang mereka pandu, satu pandangan yang telah diyakinkan semasa latihan pemanduan dinamik yang diadakan semasa cabaran ini.

  

"Saya kagum dengan kecekapan bahan api pada kereta kami tetapi saya juga sangat terkejut dengan keupayaan pengendalian dan kelengkapan ciri keselamatan yang ada pada kereta Proton," kata Rohayudin bin Ya'acob, salah seorang peserta Proton Persona yang mengambil bahagian bersama anaknya, Mohammad Kamarul Eizlan.

"Jika boleh, saya ingin mengesyorkan semua pemilik kereta Proton untuk mengambil peluang menguji kereta mereka sebaiknya kerana hanya dengan berbuat demikian, mereka dapat merasai perbezaan besar dalam pemanduan dan pengendalian Proton berbanding pesaingnya. Saya juga berasa terkejut dengan kemampuan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dalam memastikan keselamatan kereta jadi ini menunjukkan bahawa PROTON telah melakukan yang terbaik untuk memastikan sebuah kereta seperti Proton Saga varian Premium, yang berharga kurang daripada RM40,000, juga dilengkapi ciri keselamatan yang penting ini," tambah Rohayudin.

 

Mengulas mengenai kejayaan pusingan pertama Proton 1 Tank Adventure, Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON berkata, "Pusingan pembukaan 1 Tank Adventure tahun ini sangat mencabar tetapi semua peserta berjaya menamatkannya dengan selamat. Apa yang penting ialah PROTON telah membuka peluang kepada para peserta untuk menguji kereta mereka dalam keadaan pemanduan yang membolehkan mereka merasai sendiri keupayaan ciri keselamatan dan kebolehan dinamik kereta mereka, di mana turut membuktikan bahawa kereta kami menawarkan nilai dan pengalaman pemanduan terbaik di kalangan semua kenderaan dalam kelasnya."

 

Saga 2019: Gaya Mengujakan, Penjimatan Bijak, Kestabilan Mantap

Dilancarkan pada 6 Ogos 2019, Saga 2019 adalah pengenalan terkini dalam model itu sejak 34 tahun yang lalu. Lebih 2,000,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan di seluruh Malaysia dan juga di pasaran eksport, menjadikannya sinonim dengan sejarah PROTON. Keluaran terbaharu telah diperbaharui secara komprehensif dan didatangkan dengan ciri-ciri seperti skrin sentuh berwarna 7 inci, panel utama yang baharu, paparan kombinasi meter baharu dan 3 port pengecas USB. Perubahan yang dilakukan ini telah terbukti menarik perhatian pembeli kereta di Malaysia di mana dalam tempoh sebulan lebih, terdapat lebih daripada 13,000 tempahan diterima, sekaligus meneruskan sejarah kejayaan kereta Malaysia yang paling popular.

 

Persona 2019: Sambungan Tiada Tandingan, Fungsi Praktikal, Keselamatan Terbukti

Dengan lebih daripada 11,000 unit yang telah diserahkan kepada pelanggan sejak ia dilancarkan pada 23 April 2019, Proton Persona menjadi sedan segmen B terlaris bagi bulan Jun dan Julai tahun ini. Secara visual, reka bentuk luarannya yang terkini berbeza dengan reka bentuk terdahulu. Pada bahagian dalaman, PROTON memperkenalkan sistem infotainmen pintar iaitu ciri pertama di dalam kelas. Menggunakan kad eSIM, ciri ini menawarkan aplikasi penstriman muzik, navigasi dalam talian dan pengecaman suara menerusi skrin sentuh 7 inci dengan paparan berwarna serta memori dalaman sebanyak 16GB. Digabungkan dengan harga yang memberi nilai penjimatan hebat serta pakej pelanggan yang komprehensif, model ini adalah pilihan tepat untuk keluarga yang mencari sebuah kereta bergaya, pelbagai fungsi dan memberikan sambungan maksima.

 

Iriz 2019: Sambungan Revolusionari, Reka bentuk terbaharu, Pemanduan responsif

Sebanyak 367 perubahan dilakukan pada Iriz 2019 berbanding model terdahulu, menunjukkan penambahbaikan yang besar dilakukan di dalam semua aspek. Model ini diberi rekaan baharu yang agresif di bahagian hadapan dan belakang serta menampilkan corak Ethereal Bow dan Infinite Weave yang menjadikan model ini menonjol di jalan raya. Iriz ini juga dilengkapi sistem infotainmen yang turut ada pada Persona dan sekaligus turut menawarkan pilihan sambungan yang sama seperti model sedan itu. Dengan menggabungkan kualiti dan kemasan yang lebih baik dengan peralatan bertaraf tinggi dan sebuah keseronokan pada Iriz ini yang telah memenangi banyak peminat baharu, telah meningkatkan jualannya sebanyak tiga kali ganda berbanding model sebelum ini.

 

- Tamat -

 

 

 

 

 

 

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun