SIARAN AKHBAR

7 Jul 2020
MERAIKAN 35 TAHUN PROTON SAGA

Subang Jaya, 7 Julai 2020 – Bagi sesetengah individu, 9 Julai 1985 mungkin adalah satu tarikh yang tidak memberikan apa-apa makna kepada mereka namun bagi Malaysia, ia menandakan tarikh bersejarah apabila mula menjadi antara negara yang mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan kereta buatan sendiri. Ia adalah hari di mana Proton Saga mula dikeluarkan, kira-kira dua tahun selepas penubuhan Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON).

 

Sejarah antara jenama PROTON dan Proton Saga tidak dapat dipisahkan. Bermula hanya dari sehelai kertas kosong, PROTON adalah cetusan idea daripada perdana menteri keempat Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1979 untuk menjadi pembuat kereta nasional bagi membantu meningkatkan perindustrian negara. Kelulusan kabinet berjaya diperolehi pada tahun 1982 dan pada 7 Mei 1983, syarikat automotif pertama Malaysia ditubuhkan.

 

Pengeluaran Proton Saga pertama dibina di atas landasan Mitsubishi selepas pengeluar kereta Jepun itu bersetuju mewujudkan usaha sama dengan HICOM untuk menghasilkan kereta pertama Malaysia. Model tersebut mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan pembeli kereta di Malaysia dan pada 16 Mac 1989, ia dilancarkan pula di United Kingdom dan laris dijual di mana sasaran jualan di negara itu bagi 12 bulan berjaya dicapai hanya dalam tempoh enam bulan.

 

Selama bertahun-tahun, PROTON menjadi semakin maju, mencapai kejayaan dalam sukan permotoran di peringkat antarabangsa dan telah melancarkan pelbagai model lain, tetapi Saga kekal berada dalam rangkaian model Syarikat. Sebuah kereta yang teguh, berpatutan dan mempunyai keseimbangan pemanduan dan pengendalian mantap yang membuktikan kemahiran barisan jurutera Syarikat, model tersebut telah ditambah baik secara menyeluruh pada Ogos tahun lalu yang diterima baik oleh pelanggan.

 

Hari ini, Saga mengekalkan kedudukannya sebagai model terlaris dalam rangkaian penawaran PROTON. Sejak pelancaran model versi 2019, jumlah tempahan diterima hampir sama dengan keluaran terdahulu, yang dijual pada masa ketika pengguna mempunyai pilihan yang terhad. Malahan, untuk bulan Mei 2020, Saga merupakan kereta paling laris di Malaysia dan pada bulan Jun, ia berjaya mencapai jumlah jualan bulanan tertinggi dalam tempoh 70 bulan.

 

 

Secara kumulatif, lebih dari 1,800,000 unit telah terjual dalam tempoh 35 tahun, yang bermaksud Saga adalah model paling popular dari jenama automotif Malaysia. Dengan lebih banyak rancangan peningkatan pada masa hadapan, komited untuk berjaya serta dedikasi Syarikat untuk meletakkan Saga mendahului pesaingnya, model Proton paling popular ini akan kekal menjadi buah mulut pengguna untuk sekurang-kurangnya 35 tahun lagi.

 

Jadi, apakah rancangan seterusnya? Jangan lupa untuk mengikuti laman rasmi Facebook PROTON pada 9 Julai 2020, jam 10.35 pagi untuk ketahui lebih lanjut.

 

- Tamat -

 

 

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun