SIARAN AKHBAR

9 May 2020
PROTON TAWAR KAD MINYAK PERCUMA KEPADA PEMBELI KERETA E-PANGGILAN

Subang Jaya, 9 Mei 2020Memandangkan kini semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada industri e-hailing atau e-panggilan bagi menjana pendapatan tambahan, permintaan untuk mendapatkan kereta yang menjimatkan minyak, selesa dan berdaya tahan turut meningkat bagi melaksanakan tugas tersebut. Sebagai langkah untuk mempromosikan penggunaan kereta Syarikat di dalam industri tersebut, PROTON telah memperkenalkan satu tawaran insentif kepada pembeli kereta.

Bagi pelanggan yang membeli Proton Persona, Iriz, Exora, Saga atau Proton X70 baharu dari pusat jualan PROTON, akan ditawarkan dengan kad hadiah minyak Petronas bernilai RM500 atau, boleh memilih untuk mendapatkan potongan harga dengan nilai yang sama. Untuk mendapatkan tawaran ini, pelanggan perlu mengemukakan salinan lesen e-panggilan PSV yang sah sebagai bukti dan mendaftarkan kenderaan tersebut di atas nama mereka sendiri.

Selain daripada kad hadiah tersebut, potongan harga tambahan turut ditawarkan bagi model terpilih, dari RM300 hingga RM1,500. Promosi ini akan berlangsung hingga 31 Disember 2020 dan juga terbuka untuk individu yang ingin membeli kereta bagi tujuan sama iaitu e-panggilan oleh pemandu yang berbeza. Bagi hal ini, hanya memerlukan Surat Persetujuan yang menyatakan tujuan pembelian serta nama penuh, nombor kad pengenalan dan salinan lesen e-panggilan pemandu tersebut.

"Kami ingin memudahkan mana-mana individu yang ingin membeli kereta Proton bagi tujuan e-panggilan. Oleh itu, sekiranya pembeli kereta adalah isteri dan pemandunya adalah suaminya, kami hanya memerlukan dokumen untuk pengesahan bagi meluluskan pembelian,” kata Fazli Hisham Shukor, Ketua Jualan Korporat, PROTON Edar.

Tujuan PROTON memperkenalkan tawaran ini adalah untuk memudahkan mereka yang baharu dalam industri e-panggilan untuk membuat keputusan pembelian kereta serta bagi pemandu sedia ada yang ingin menggantikan kereta mereka. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi pusat jualan PROTON Edar terdekat atau e-mel corporatesales@proton.com.

 

-Tamat-

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun