SIARAN AKHBAR

27 Oct 2021
PROTON MAJU KEHADAPAN DI PAKISTAN

- Al-Haj Automotive memulakan pemasangan tempatan Proton Saga 

- 154 unit terakhir Proton X70 telah dihantar ke Pakistan

 

Subang Jaya, 27 Oktober 2021 - Dengan pengurangan kekangan terhadap pengawalan Covid-19 di peringkat domestik dan antarabangsa, syarikat-syarikat di Malaysia mula melihat peningkatan perdagangan antarabangsa dan aktiviti eksport. PROTON juga tidak terkecuali, di mana pihak Syarikat telah mencapai satu tahap yang baru di Pakistan apabila Proton Saga telah berjaya dihasilkan di kilang pengeluaran negara tersebut pada 13 Oktober. 

 

Pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Dr Arif Alvi, Presiden Pakistan, Saga merupakan model pertama Proton yang dipasang oleh Al-Haj Automotive, pengedar eksklusif Proton di Pakistan, iaitu di kilang produksi baharu mereka di Karachi yang dibina dengan kos sebanyak 20 juta Dollar Amerika. Dengan kapasiti awal tahunan sebanyak 25,000 unit setahun, potensi jualan pasaran Pakistan menjadikan ia adalah kritikal bagi rancangan PROTON untuk berkembang di pasaran eksport di masa hadapan.

 

Bercakap di dalam majlis tersebut, Hilal Khan Alfridi, Ketua Pegawai Eksekutif bagi Al-Haj Automotive berkata, “Kejayaan pemasangan Proton Saga di Pakistan merupakan kemuncak kerja keras dan usaha yang tidak kenal penat lelah oleh PROTON, keseluruhan pasukan Al-Haj dan pembekalnya. Walaupun dengan segala kesukaran dalam penguatkuasaan menangani Covid-19, kami terus berusaha untuk membina kilang baharu dan dengan itu kami berkeyakinan ia akan mencatatkan piawaian industri baharu dan membolehkan kami untuk memperkenalkan lebih banyak produk yang menepati piawaian kualiti antarabangsa yang ditentukan oleh pihak PROTON.” 


Proton X70 akan menjadi model kedua dipasang di Pakistan selepas penghantaran terakhir unit CBU

Dilancarkan pada Disember 2020, Proton X70 mendapat liputan meluas di Pakistan kerana kombinasi rekacipta, teknologi dan ciri keselamatannya. Dijual sebagai unit CBU pada mulanya, SUV segmen-C akan menjadi model kedua yang akan dipasang oleh Al-Haj Automotive dengan jangkaan pelancaran yang dijadualkan pada bulan Disember 2021.

 

Sebelum bermulanya pemasangan tempatan, sebanyak 154 unit terakhir Proton X70 telah dihantar pada Ahad, 17 Oktober 2021, menjadikan jumlah eksport model CBU ke negara tersebut adalah sebanyak 602 unit.

 

“Walaupun Covid-19 banyak mempengaruhi operasi kami di Pakistan, namun permintaan bagi model Proton di negara tersebut masih kekal tinggi dengan kedua-dua model Proton Saga dan X70 menarik sokongan yang kuat. Pihak Al-Haj telah menerima sebanyak 2,500 unit tempahan bagi Saga dan lebih daripada 2,000 unit tempahan bagi X70, jadi kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelanggan kerana kepercayaan kepada produk dan juga kesabaran dan bertimbang rasa akan situasi yang menyebabkan kelewatan dalam penghantaran kenderaan mereka.” 

 

“Dengan penghantaran terakhir unit CBU dalam perjalanan dan pemasangan tempatan telah bermula bagi Saga dan X70 akan dihasilkan sebelum akhir tahun ini, kami akhirnya dapat mengorak langkah kehadapan untuk memenuhi permintaan pasaran. Ini akan memberikan ruang bagi Al-Haj Automotive dan PROTON untuk mewujudkan keberadaan yang kuat di pasaran negara tersebut demi faedah pertumbuhan jualan masa hadapan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar. 

 

Dengan jualan eksport menjadi pengukuh untuk mencapai hasrat jangka masa panjang, komitmen PROTON kepada pasaran di Pakistan menjangkau penghantaran CKD dan alat ganti yang lain. Ia juga meliputi sokongan sumber manusia dan hari ini, seramai 20 kakitangan PROTON yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang berkaitan pengilangan ditempatkan di Karachi untuk membantu dalam proses pemasangan.

 

“Dengan 37 tahun pengalaman penghasilan kenderaan, PROTON telah mengumpulkan kepakaran dalaman yang boleh dimanafaatkan oleh pasaran luar negara kita. Dengan pengalaman beroperasi di pelbagai pasaran, kami boleh menyesuaikan diri secara pantas di dalam banyak situasi dan keadaan, jadi kami harap dapat memainkan peranan besar dalam memastikan kejayaan jenama kita di Pakistan,” tambah Roslan Abdullah. 

 

-Tamat-

 

 

 

 

 

 

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun