SIARAN AKHBAR

23 Dec 2022
PROTON HANTAR KENDERAAN KE-1,000 KE AFRIKA SELATAN

-  Angka dicapai dalam dua bulan selepas pelancaran rasmi semula jenama    

 

Subang Jaya, 23 December – Dua bulan selepas kembali semula secara rasmi ke Afrika Selatan, pengeluar kereta nasional PROTON telah bertapak kukuh di Rainbow Nation itu hasil populariti Proton X50 dan Proton X70. Sehingga kini, PROTON telah menghantar 1,000 unit kenderaan Proton ke Afrika Selatan untuk memenuhi permintaan kukuh dalam pasaran.

 

“Penjualan pantas kenderaan kami di Afrika Selatan adalah bukti daya tarikan Proton sebagai jenama, dan rangkaian model kami kepada pembeli kereta di sana. Kami mempunyai hubungan kerja yang kukuh dengan Kumpulan CMH, dan mereka telah mengendalikan banyak aktiviti untuk memberikan peluang kepada seramai mungkin warga Afrika Selatan untuk merasai rangkaian model-model semasa kami” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa, PROTON.


Misi syarikat untuk kembali ke pasaran di sana selepas berehat selama 10 tahun bermula apabila ia melantik CMH Group sebagai pengedarnya untuk Afrika Selatan pada bulan April 2022. Penghantaran pertama kenderaan yang terdiri daripada Proton X50 dan Proton X70 berlaku pada bulan Mei 2022 manakala pelancaran semula jenama dan produk berlangsung pada 14 September 2022.

 

Sejak itu, CMH telah meluaskan rangkaian pengedaran secara berperingkat untuk meningkatkan akses kepada pasaran sambil turut aktif mempromosikan kenderaan Proton di media sosial. Pada masa ini, hanya SUV Proton ditawarkan di negara itu, dan Proton Saga akan menyertai rangkaian tersebut pada tahun 2023.

Walaupun pasarannya matang dan berdaya saing, PROTON dan CMH optimis terhadap prospek jualan di negara itu dan dengan prestasi jualan yang kukuh setakat ini, mereka menyasarkan untuk menggandakan jumlah jualan pada tahun 2023.

“PROTON dan CMH yakin mampu mengembangkan jualan secara eksponen di Afrika Selatan kerana sambutan yang kami terima setakat ini amat menggalakkan. Kami komited untuk menyediakan SUV mewah mampu milik untuk pembeli kereta di Afrika Selatan, dan Proton X50 dan Proton X70 mempunyai gabungan ciri dan nilai yang tepat untuk bersaing dengan jenama lain. Dari segi spektrum yang lain, kami juga merasakan bahawa Proton Saga akan menemui posisinya sendiri dengan gabungan gaya, ciri canggih dan harga yang memberi nilai tinngi kepada pembeli,” tambah Steven Xu.

 

Jualan eksport terus menunjukkan aliran pertumbuhan pada 2022

Selepas beroleh volum yang berganda pada tahun 2021, jualan eksport PROTON terus berkembang pada tahun 2022. Jumlah eksport sehingga akhir bulan November berjumlah 5,028 unit dan dengan baki satu bulan sebelum tahun ini berakhir, Bahagian Jualan Antarabangsa syarikat yakin akan dapat membesarkan lagi nombor itu.

 

Pakistan kekal sebagai pasaran terbesar dengan 2,610 unit setakat tahun ini. Afrika Selatan adalah yang kedua terbesar dari segi jumlah walaupun merupakan tambahan baharu ke dalam senarai eksport, manakala Brunei Darussalam menduduki tempat ketiga. Bagi kedudukan model, Proton Saga kekal sebagai tawaran paling popular manakala Proton X70 telah meningkat hampir dua kali ganda jumlahnya tahun ini. Sementara itu, Proton X50 berada di tempat ketiga tetapi telah meningkat tahun ini sebanyak tiga kali ganda setakat ini. 

 

“Volum eksport PROTON terus berkembang secara agresif apabila kami memasuki lebih banyak pasaran baharu dan mewujudkan gabungan strategi CBU dan CKD yang bergantung kepada keadaan pasaran. Jualan eksport adalah salah satu tonggak pertumbuhan jualan kami dan oleh itu, kami akan berusaha untuk terus berkembang secara agresif pada tahun-tahun akan datang dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai pengeksport utama kenderaan untuk Malaysia," kata Steven Xu.

-Tamat-