INOVASI MENGGUNAKAN
STRATEGI DAN TEKNOLOGI
Pada permulaannya, objektif utama kami adalah untuk menaikkan nama Malaysia sebagai negara perindustrian di abad ke-21. Dari saat pertama, kami berusaha untuk menghasilkan penyelidikan dan pembangunan yang strategik, dan keupayaan reka bentuk sambil menetapkan hasrat untuk memiliki kebolehupayaan pembuatan dan pengeluaran bertaraf dunia. Keinginan kami untuk sentiasa memperbaiki kualiti berterusan sehingga hari ini, sekaligus memastikan PROTON menjadi entiti yang dikenali, menerajui industri automotif.
Penyelidikan & Pembangunan
Kami melaburkan berbilion ringgit dan bilangan jam masa yang tidak terkira di dalam Penyelidikan & Pembangunan, bagi memastikan kami sentiasa berada selangkah di hadapan. Kami sentiasa mencari dan membangunkan teknologi baru daripada segi reka bentuk dan kejuruteraan, dan memperkenalkan kemudahan tercanggih dan produk berinovasi di pasaran.Dengan perkhidmatan kejuruteraan berintegrasi penuh, berkemampuan untuk menghasilkan konsep dan reka bentuk baru, kami telah berkembang menjadi pembuat automotif sepenuhnya. Melalui proses penyelidikan dan pembangunan yang meluas, kami terlibat dalam mereka bentuk dan menghasilkan platform, badan dan enjin kereta tersendiri, dari reka bentuk dan pembangunan, sehingga pembuatan prototaip, ujian dan pemasangan.
Platform Kenderaan
Kumpulan program kenderaan kami mempunyai bertahun-tahun pengalaman di dalam bahagian reka bentuk dan kejuruteraan komponen semasa bekerjasama dengan pasukan di Lotus UK. Dilengkapi dengan perisian dan peralatan canggih, program kenderaan kami maju ke hadapan dengan daya kreatif di setiap bahagian program, termasuk perancangan produk strategik, penggayaan, kejuruteraan, reka bentuk dan program pembangunan pembekal.
Pembangunan Powertrain
Bahagian Powertrain kami bekerja keras bukan sahaja untuk membangunkan teknologi enjin CamPro dan VVTi, tetapi juga untuk memastikan ia bersesuaian dengan peredaran masa. Di samping membangunkan teknologi Pembakaran Enjin Dalaman (ICE), bahagian Powertrain kami juga berusaha untuk menghasilkan sistem hibrid dan sistem pemanduan elektrik tulen, dan juga kilang jana kuasa PROTON.
Homologasi & Ujian
Setiap unit Proton melalui proses ujian rapi untuk memastikan ia selamat dan kukuh bagi penggunaan awam. Bahagian Homologasi & Ujian kami menggalas tanggungjawab ini.Makmal Komponen, Bahan, Kekuatan & Keselamatan (CMSS) dikendalikan oleh 45 orang pakar yang telah menjalani latihan rapi di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Di dalam Makmal Pembangunan Emisi kami, standard EURO 4 digunakan buat masa ini, dengan standard EURO 5 sebagai sasaran yang ingin dicapai. Makmal ini menguji jumlah karbon dioksida yang keluar dari setiap kenderaan.
Makmal Bunyi menjalankan beberapa ujian yang meliputi bunyi luaran, bunyi dalaman, bunyi kabin dan getaran.
Litar Ujian PROTON merupakan litar ujian berkelajuan separa-tinggi yang membenarkan kami menguji paras ketegangan setiap kereta. Ujian kami ini meliputi daya tahan, kecekapan penggunaan minyak, bunyi dan getaran, dan beberapa ujian simulasi. Ini merangkumi jenis permukaan jalan dan gradien yang berlainan, termasuk simulasi ketika banjir dan hujan.
Penggayaan & Pembangunan Teknologi
Sila lihat ke dalam Bahagian Reka Bentuk kami dan anda akan temui 4 unit utama: Komputer (CAS), Reka Bentuk Warna, Reka Bentuk Model dan Reka Bentuk Maju. Kumpulan ini menggunakan teknologi serba canggih untuk menjalankan analisa, memperbaiki proses dan komponen pembikinan. Kecekapan terasnya termasuk reka bentuk digital yang melibatkan lakaran, pembentukan dan pelapisan, dan juga pemprototaipan pantas yang lebih meningkatkan proses reka bentuk.Kumpulan pereka kami, pembuat model dan jurutera menggunakan pendekatan balik kepada kaedah asas dengan menekankan untuk mencapai kesempurnaan - tidak kira bentuk dan jenis permukaan. Jabatan pertama yang ditubuhkan di bawah naungan inisiatif Penyelidikan & Pembangunan PROTON iaitu kumpulan reka bentuk PROTON mempunyai pekerja berbilang kaum dan pelbagai etnik, terdiri daripada 57 orang berbakat dan berkelulusan tempatan dan luar negara, daripada pelbagai latar belakang seperti reka bentuk perindustrian, reka bentuk tekstil, reka bentuk grafik, reka bentuk fesyen, seni bina, kejuruteraan mekanikal dan lain-lain.