Sejarah kami bermula pada tahun 1979 semasa bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengilhamkan satu visi: untuk mencipta kereta kebangsaan yang pertama. Satu cabaran yang terpahat dalam sejarah negara hingga ke hari ini. Pada tahun 1983, PROTON ditubuhkan, menjadi asas kepada industri automotif kebanggaan negara.
Kereta kebangsaan pertama, Proton Saga, dilancarkan untuk kegunaan umum. Sebuah impian yang tidak mungkin dapat dikecapi kebanyakan negara, PROTON menjadikan ia realiti dengan menghasilkan kereta 100% milik Malaysia. Sejak penubuhannya, PROTON telah menjadi entiti penting dalam memajukan ekonomi negara dengan membuka ruang bagi perkembangan pemindahan teknologi, perkongsian strategik dan kerjasama teknikal. Kini, dengan kerjasama rakan niaga strategik kami, Geely, PROTON terus menghasilkan reka bentuk dan pembuatan kereta sambil melakar landskap baru untuk industri automotif Malaysia, dan tetap bercita-cita untuk berkembang pesat di persada antarabangsa.