SIARAN AKHBAR

12 Dec 2018
PROTON X70 DILANCARKAN

Kuala Lumpur, 12 Disember 2018PROTON secara rasmi telah melancarkan Proton X70 pada majlis gilang-gemilang yang mana dirasmikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Butiran penuh SUV tersebut telah dikongsikan pada majlis itu termasuk harga jualan, pakej servis, pembiayaan dan waranti.

 

SUV premium pertama dihasilkan oleh jenama automotif Malaysia

Proton X70 adalah model pertama yang dihasilkan bersama oleh PROTON dan Geely serta merupakan SUV premium pertama dikeluarkan oleh sebuah jenama automotif Malaysia.  Model ini juga telah membawa PROTON ke segmen pasaran baharu dan bertindak sebagai pemangkin untuk memberi nafas baharu kepada jenama.

 

Untuk menghasilkan Proton X70, PROTON dan Geely perlu bekerjasama dalam pelbagai peringkat. Ianya termasuklah dari pengaturan kerja antara kakitangan di China dan Malaysia, untuk membuat ujian dalam iklim panas dan lembap di Malaysia sehinggalah kolaborasi antara pembekal tempatan dan antarabangsa dengan tujuan untuk memastikan penghasilan produk yang sesuai dengan keperluan pembeli kereta di Malaysia dan ASEAN.

 

Dalam persediaan bagi pengenalan produk ini, PROTON telah memulakan pelan pemasaran komprehensif untuk mewujudkan keterujaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini di kalangan pembeli kereta iaitu menerusi pelbagai aktiviti, pelancaran portal tempahan dalam talian dan membuat penampilan awam di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018. Usaha-usaha yang dilakukan ini telah dijalankan pada bulan September lalu dan diperhangatkan lagi dengan kempen di media sosial termasuklah pertandingan memberi nama dan pelbagai video teaser di Facebook dan YouTube.

 

Pada masa yang sama, pelaburan penting dalam rangkaian PROTON juga dilakukan bagi menyambut kedatangan Proton X70. Aktiviti-aktiviti latihan dan kursus untuk kakitangan jualan dan servis serta pelancaran Pertandingan Servis Selepas Jualan PROTON (PASSC) telah menjadi sebahagian daripada usaha untuk memastikan setiap pekerja mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai model ini. Syarikat juga telah memulakan pelan pengembangan rangkaian dengan mempelawa pelabur-pelabur baharu membuka cawangan PROTON dan menawarkan insentif yang memberangsangkan kepada pengedar sedia ada bagi menambahbaik kemudahan mereka kepada pusat 3S dan 4S. Sehingga kini, sebanyak 115 pelan penambahbaikan cawangan telah diluluskan, dengan sebanyak 71 cawangan berjaya dilancarkan pada tahun ini.

 

"Proton X70 adalah hasil kerja keras lebih daripada setahun jurutera PROTON dan Geely, pereka bentuk dan beratus-ratus pekerja yang lain yang bekerjasama membangunkan SUV premium pertama oleh pengeluar kereta Malaysia. PROTON berbangga dengan pencapaian ini dan kami percaya bahawa pembeli kereta Malaysia akan turut sama berbangga memiliki SUV ini yang akan membantu mengubah jenama Proton. Dengan lebih 10,000 tempahan yang diterima, ia menunjukkan satu permulaan yang baik, justeru, kami akan berusaha dengan lebih lagi untuk menghasilkan produk dan jenama seperti yang dijanjikan," kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

 

"Penyerahan Proton X70 akan bermula pada minggu-minggu akan datang kerana Syarikat mahu pelanggan mendapatkan kereta mereka secepat mungkin. Ada di antara mereka yang telah menunggu lebih dari enam bulan, dengan memberikan nama kepada pengedar sebelum tempahan dibuka secara rasmi, jadi, PROTON berterima kasih atas kesabaran dan kesetiaan mereka terhadap Syarikat,” tambahnya.

 

Pakej istimewa dan satu harga untuk semua rakyat Malaysia

Untuk meningkatkan pengalaman pemilikan Proton X70, pakej nilai tambahan istimewa telah diumumkan pada majlis pelancaran ini. Dinamakan sebagai pakej Xtra, pakej ini melibatkan empat perkara yang berbeza.

Pakej Servis Xtra menawarkan alat ganti dan kos pekerja secara percuma untuk servis yang pertama serta kos pekerja percuma untuk lima kali servis berjadual bagi 100,000km atau lima tahun. Selain itu, terdapat juga Pakej Pembiayaan Rendah Xtra, yang menawarkan kadar faedah rendah bermula dari 2.34% p.a. untuk pembeli yang berkelayakan.

PROTON akan menjadi jenama automotif kebangsaan pertama menawarkan jaminan perbatuan tanpa had di mana Pakej Perlindungan Waranti Xtra akan melindungi Proton X70 selama lima tahun tanpa mengira jarak perbatuan. Akhir sekali, untuk memastikan pemilik menikmati pengalaman sambungan premium, Pakej Data Xtra menawarkan data internet percuma selama lima tahun (dihadkan pada 1GB sebulan).

"Pakej Xtra yang diberi akan meningkatkan pengalaman para pemilik dengan menawarkan kemudahan, penjimatan untuk servis, pembiayaan serta data percuma. PROTON juga akan mencipta sejarah dengan menawarkan Proton X70 pada satu harga bagi satu negara. Ini bermakna, pembeli kereta di Timur dan Barat Malaysia akan membayar harga yang sama untuk model yang sama, menjadikan PROTON jenama automotif pertama menawarkan tawaran sedemikian. Harapan kami dengan langkah ini, PROTON membuktikan bahawa produk Malaysia boleh ditawarkan pada harga yang sama untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi tempat tinggal mereka,” tambah Dr Li Chunrong.

-Tamat-

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun