SIARAN AKHBAR

3 Sep 2018
PROTON MENCATAT SATU LAGI PENCAPAIAN BULANAN
Subang Jaya, 3 September 2018 - Peningkatan jualan seperti yang dicatatkan pada bulan-bulan lalu diteruskan pada bulan Ogos 2018 apabila Syarikat sekali lagi memperoleh jualan bulanan tertinggi bagi tahun 2018 untuk tiga bulan berturut-turut. Jualan meningkat sebanyak 18.5% berbanding Julai, menjadikan Ogos sebagai bulan jualan tertinggi untuk kereta-kereta Proton sejak 36 bulan yang lalu. Secara keseluruhannya, sebanyak 9,501 unit kereta telah dijual, di mana ini bukan sahaja pencapaian terbaharu bagi tahun ini, tetapi merupakan volum jualan terbanyak sejak Julai 2015.

Ramalan pegangan pasaran meningkat dengan Saga dan Persona terus mendominasi keseluruhan jualan
Selaras dengan pertumbuhan volum jualan, ia menunjukkan peningkatan pegangan pasaran selama tiga bulan berturut-turut. Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sebanyak 15.4% dijangkakan bagi bulan Ogos, meskipun peratusan sebenar akan diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Sama seperti 7 bulan sebelum ini, Proton Saga dan Persona kekal menjadi model pilihan pembeli apabila kedua-dua model ini kekal mendominasi jualan Syarikat. Saga menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan dan memecah rekod jualan sebanyak 4,000 unit dengan pendaftaran sebanyak 4,174. Manakala, Proton Persona hampir mencapai jualan 3,000 unit dengan pendaftaran sebanyak 2,957 unit bagi Ogos. Bagi model-model yang lain turut menyumbang pada jualan, ditambahkan lagi dengan pembeli yang mencari kereta sebelum tamat hujung bulan.

“Ogos telah memperlihatkan pertumbuhan jualan sebanyak tiga kali berturut-turut untuk PROTON di mana Syarikat sekali lagi mencapai volum yang tinggi bagi tahun ini. Pertumbuhan ini sedikit sebanyak didorong oleh GST yang berkadar sifar sebelum pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta kempen pemasaran yang giat dijalankan bagi mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengambil kesempatan bersempena dengan pembelian tanpa cukai ini. Jumlah jualan yang tinggi ini menunjukkan peningkatan keyakinan orang ramai terhadap jenama kami kerana ramai yang masih memilih PROTON berdasarkan pakej menarik yang ditawarkan kepada mereka. Pelan pemulihan kami berjalan seperti yang dirancangkan, kini menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka kekal memilih jenama kami dengan memberikan servis pelanggan yang terbaik,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar.

SST akan diserap oleh PROTON untuk semua model bagi September

Pelaksanaan SST telah mendatangkan kesan kepada pasaran automotif Malaysia di mana pembeli kereta telah berpusu-pusu untuk membuat pembelian sebelum cukai tersebut dilaksanakan. Sebelum ini PROTON menyatakan bahawa terdapat perubahan harga apabila SST dilaksanakan, tetapi, buat masa ini perubahan tersebut tidak akan memberi kesan terhadap pembeli-pembeli kereta Proton. Ini kerana PROTON akan menyerap kos SST untuk semua model Proton bagi memastikan pembeli masih dapat membeli dengan harga tanpa cukai.

“Sementara PROTON menunggu maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SST, Syarikat akan menyerap kos SST tersebut untuk semua model untuk memberi peluang kepada pembeli untuk membeli kereta. Ini memberikan manfaat kepada mereka semasa tempoh transaksi serta membantu PROTON mengekalkan momentum jualan.”

“Disamping kos SST yang diserap untuk semua jenis model pada September ini, PROTON juga menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada bulan ini dengan memberikan tawaran hebat pada model-model terpilihnya. Diskaun antara RM500 sehingga RM1,000 akan ditawarkan bagi Saga, Iriz dan Persona, serta Proton Ertiga Xtra yang baharu sahaja dilancarkan, di mana model tersebut menampilkan tempat duduk baharu berwarna gelap serta unit utama berskrin sentuh, dengan penjimatan sebanyak RM2,000 daripada harga asal,” ujar Abdul Rashid.

Jumlah cawangan 3S dan 4S semakin meningkat

Dengan pelancaran SUV pertama Syarikat dijangkakan pada hujung tahun ini, PROTON turut melancarkan pelan untuk menambahbaik rangkaian cawangan serta pengedarnya disamping penaiktarafan kemudahan 3S dan 4S. Sehingga 20 Ogos 2018, sebanyak 96 cawangan (cawangan baharu dan ubahsuai) telah mendapat kelulusan peningkatan. Jumlah sasaran kelulusan adalah sebanyak 109 cawangan pada Oktober tahun ini.

“Dengan menaiktaraf pusat-pusat jualan kami ini telah memberikan semangat kepada rangkaian pengedar yang melihatnya sebagai satu peluang untuk mereka. Ada di antara mereka berkomited untuk menjual lebih 2,000 unit kereta setahun, iaitu sasaran yang mampu dicapai kerana model SUV serta produk-produk akan datang yang dihasilkan bersama Geely hanya akan dijual secara eksklusif oleh pusat 3S dan 4S PROTON. Pusat-pusat jualan ini akan membantu PROTON untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan, dengan menyediakan kemudahan dan kualiti servis lebih baik daripada sebelum ini,” kata Abdul Rashid.

Tun Dr Mahathir membuat kunjungan ke Geely


Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed, menjalani lawatan kerja ke China dari 17 sehingga 21 Ogos, termasuklah berkunjung ke Geely Auto di Hangzhou pada 18 Ogos. Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group, Li Shufu telah menjadi tuan rumah pada lawatan tersebut, yang turut memberi kesempatan bagi Perdana Menteri dan Pengurusan Kanan PROTON bertemu dan beramah mesra dengan pekerja-pekerja di sana.

Tun Dr Mahathir turut menjadi saksi pada majlis menandatangani Perjanjian Dasar Induk (HOA) antara Geely Auto dan PROTON bagi memulakan kajian yang memfokuskan pada peluang memasang dan menjual kereta-kereta Proton di China. Perjanjian tersebut akan membuka peluang kepada PROTON untuk masuk ke pasaran kereta terbesar di dunia.

Menambahbaik kualiti servis selepas jualan melalui Pertandingan Servis Selepas Jualan PROTON

Pusingan akhir bagi Pertandingan Servis Selepas Jualan PROTON (PASS) akan diadakan di Pusat Latihan Pengajar & Kemahiran Lanjutan (CIAST) pada 29 September sehingga 2 Oktober 2018. Seramai 15 peserta telah terpilih dari 5 pusingan wilayah yang telah berlangsung pada 20 Julai hingga 18 Ogos yang lalu, di mana mereka kini akan merebut hadiah wang tunai serta lawatan insentif bernilai RM50,000.

“Pertandingan Servis Selepas Jualan (PASS) ini merupakan platform untuk menonjolkan dan memberi ganjaran kepada bakat servis terbaik di PROTON, akan tetapi ianya juga menekankan kepentingan membina budaya mengutamakan servis terhadap pelanggan. Sekiranya juruteknik melakukan tugasan mereka dengan pantas dan cekap sewaktu pertandingan ini, kami percaya ianya akan memberikan inspirasi kepada rakan-rakan sekerja mereka untuk melakukan perkara yang sama pada kereta-kereta pelanggan, dan ini akan menjadikan kualiti servis sebahagian daripada tugasan mereka,” tambah Abdul Rashid.

Pelbagai acara bagi mempamerkan kereta-kereta Proton berakhir dengan penuh debaran

Pada beberapa bulan sebelum ini, PROTON telah melakukan pelbagai acara atau aktiviti untuk mendekati pengguna rangkaian kereta sedia adanya. Sebanyak 3 acara telah berakhir dengan penuh keseronokkan pada Ogos lalu.

Yang pertama adalah PROTON 1 Tank Adventure, di mana cabaran ini berakhir dengan perjalanan yang begitu epik dari Kulai, Johor menuju ke Juru, Penang. Sebanyak 31 penyertaan bagi Iriz, Persona dan Saga telah memperoleh beberapa keputusan yang hebat termasuklah rekod baharu iaitu sebanyak 3.5L/100KM bagi Iriz. Para peserta turut diberikan layanan istimewa kerana perjalanan yang diatur membawa mereka ke Pusat Kecemerlangan PROTON (COE) di mana mereka telah dibawa ke litar pandu uji PROTON sebelum melawat ke studio reka bentuk PROTON untuk mengetahui mengenai proses mereka bentuk kereta.

Acara seterusnya adalah Cabaran Ace the Space di mana sebanyak 4 kumpulan telah bertandingan di pusingan akhir. Pada pusingan pra kelayakan, matlamat utama adalah untuk memuatkan seramai yang boleh di dalam sebuah MPV Proton walaupun pada pusingan akhir menggunakan Proton Exora. Kumpulan yang menang berjaya memuatkan seramai 55 orang, satu pencapaian yang dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records.

PROTON juga telah menganjurkan pertandingan bersama syarikat teknologi Grab pada Ogos lalu. Dinamakan cabaran PROTON Wealth on Wheels (WOW), cabaran ini melibatkan pemandu-pemandu Grab yang memandu Proton Iriz, Persona dan Saga. Peserta diberi tugasan untuk mengumpul hasil sebanyak yang boleh dalam masa satu hari dengan hanya menggunakan satu tangki minyak.

“PROTON tidak akan melupakan produk-produk asalnya kerana pembeli-pembeli ini telah kekal setia bersama kami selama bertahun-tahun, acara atau aktiviti seperti 1 Tank Adventure dan Ace the Space memberi peluang kepada Syarikat untuk berinteraksi bersama pelanggan serta sebagai landasan mempamerkan kebolehan unik yang ada pada kereta-kereta Proton akan yang menjadikan ia sebagai pilihan popular untuk rakyat Malaysia,” kata Abdul Rashid.

 



DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun