SIARAN AKHBAR

30 Apr 2019
PROTON TERUS MENINGKATKAN PERKEMBANGAN PARA PEKERJA

Tanjung Malim, 30 April 2019 - PROTON hari ini menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 kepada seramai 258 kakitangan dari PROTON Shah Alam dan Tanjung Malim. Majlis graduasi tersebut telah diserikan oleh Dr. Mohd Rashid Buyong Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Hasil kerjasama antara PROTON dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, melalui penganugerahan sijil tersebut menunjukkan komitmen Syarikat untuk meneruskan pembangunan para pekerjanya bagi mengekalkan momentum dalam mengembangkan perniagaan. Ia juga menunjukkan pengiktirafan terhadap kepentingan pekerja mahir dalam industri automotif, terutamanya dalam bidang kualiti produk dari segi proses pembuatan.

Modal Insan sebagai pemacu utama dalam pertumbuhan dan kemampanan perniagaan

"Pekerja-pekerja kami merupakan aset utama untuk meningkatkan daya saing Syarikat di dalam industri. PROTON komited untuk membangun dan menghasilkan lebih ramai pekerja mahir dan sebagai pengeluar kereta kebangsaan, tugas kami bukan sekadar membina kereta tetapi menjadi pemacu utama dalam pembangunan modal insan," kata Dato' Radzaif Mohamad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

SKM adalah perakuan rasmi yang diiktiraf oleh kerajaan kepada individu yang telah mencapai keupayaan yang diperlukan untuk melatih dan dipersiapkan dengan kecekapan melaksanakan tugas dan fungsi dalam bidang pekerjaan tertentu. Bagi seramai 258 pekerja PROTON ini, bidang khusus yang diiktiraf adalah dalam industri automotif.

"Selama bertahun yang lalu, kami telah melihat kesan positif latihan ini kepada kakitangan dari segi keberkesanan dan kualiti kerja mereka. Menerusi usaha berterusan untuk meningkatkan kemahiran para pekerja ini, Syarikat akan dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan mampu menghasilkan produk yang lebih berkualiti untuk mereka," tambah Dato' Radzaif.

Berikutan kerjasama Syarikat dengan Geely, PROTON kini mula memperkenalkan kereta-kereta pintar, bermula dengan Proton X70 dan diikuti model yang baru sahaja dilancarkan iaitu Proton Iriz dan Persona 2019. Oleh itu, PROTON perlu menyediakan latihan dari semasa ke semasa untuk kakitangannya dalam memastikan kemahiran mereka sentiasa dipertingkat dan mereka mempunyai keupayaan untuk menghasil, menjual dan memberi servis bagi produk-produk generasi baharu.

Di bawah Sistem Sijil Kemahiran Malaysia JPK, terdapat lima tahap kemahiran yang diiktiraf kelayakan untuk pekerjaan tertentu dan yang terpilih. Latihan penilaian melibatkan lima bidang utama termasuklah pemasangan badan automotif, pemasangan enjin automotif, lukisan automotif, pemeriksaan trim and final automotif serta pentadbiran pejabat.

Kerjasama antara Jabatan Pembangunan Kemahiran dan PROTON telah dijalinkan hampir 10 tahun bermula dengan Pertandingan "WorldSkills Malaysia Belia" (WSMB), Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) dan Pertandingan WorldSkills (WSC) dalam sektor Teknologi Mobil.

-Tamat-

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun