SIARAN AKHBAR

6 Aug 2019
PROTON LANCAR SAGA 2019

Kuala Lumpur, 6 Ogos 2018 - PROTON melancarkan Saga 2019 di satu majlis yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Turut hadir ialah Dato' Mohammad Zainal Shaari, Pengerusi DRB-HICOM, Dato' Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON, Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON serta Dato' Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

 

Harga bermula RM32,800 (Standard MT), RM35,800 (Standard AT) dan RM39,800 (Premium AT), versi terbaharu model ikonik dan terlaris PROTON ini dilengkapi dengan gaya baharu, kotak gear automatik empat kelajuan dan ciri pintar pertama di dalam kelasnya yang bukan sahaja membezakannya daripada pesaing tetapi turut meningkatkan nilainya. Syarikat juga mengenal pasti proposisi penjualan unik atau Unique Selling Propositions (USP) model ini iaitu apabila digabungkan, menghasilkan slogan Pilihan Yang Pintar atau An Intelligent Proposition. Tiga USP yang dinyatakan adalah Gaya Mengujakan, Penjimatan Bijak dan Kestabilan Mantap.

Penggayaan sepenuhnya pada dalaman dan luaran kereta

Kisah mengenai Proton Saga adalah sinonim dengan PROTON, mengimbau kembali 34 tahun lalu dan tiga perubahan sepenuhnya dilakukan pada model tersebut. Saga 2019 telah diberikan rekaan terkini yang masih mengekalkan identitinya tetapi pada masa yang sama meletakkannya ke barisan model Proton yang lain.

Pada bahagian luar, Saga 2019 dipasangkan dengan bampar hadapan baharu dan lebih agresif bersepadu dengan lampu nyalaan siang. Pada bahagian gril turut mempunyai corak infinite weave yang mula diperkenalkan melalui model Proton X70 serta Iriz dan Persona 2019. Bampar belakang yang sama menonjol sepadan dengan bahagian hadapan dan rekaan di belakang dilengkapi dengan spoiler belakang bersepadu baharu dan nama PROTON terletak pada bahagian penutup but. Satu set roda aloi bersaiz 15 inci yang menampilkan rekaan baharu menyerikan lagi sentuhan akhir pada varian premium.

Pada bahagian dalam pula, perubahan paling ketara dilakukan adalah pada monitor skrin sesentuh 7-inci terapung atau floating touchscreen pada model premium. Digunakan untuk mengawal sistem infotainmen, kemudahan ini mempunyai sambungan Bluetooth, kapasiti penyimpanan dalaman 16GB dan sambungan telefon pintar untuk Android. Perubahan lain termasuklah upholsteri tempat duduk baharu, panel tengah baharu, paparan kombinasi meter baharu dengan Bantuan Pemanduan Eco dan turut dilengkapi sehingga 3 tempat cucuk USB.

Kemudahan yang turut disediakan dalam Saga 2019 ini termasuklah kunci pembuka but, pelindung matahari dengan pemegang kad dan cermin, lampu peta LED dan pemegang genggaman baharu untuk disepadankan dengan bahan yang digunakan di bahagian dalaman kereta.

Kestabilan mantap dengan keselamatan tanpa kompromi

Secara mekanikal, perubahan yang paling besar adalah transmisi automatik empat kelajuan baharu menggantikan CVT yang digunakan sebelum ini. Barisan Jurutera PROTON kemudiannya membuat peningkatan pada prestasi brek, tahap kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH) serta keseimbangan pemanduan dan pengendalian disamping menambah tahap keselamatan yang berkelas dunia.

Sebagai contoh brek yang dilengkapkan pada model ini adalah sama seperti yang dipasangkan pada Proton Iriz dan Persona yang lebih besar manakala penggunaan kotak gear automatik empat kelajuan baharu memberikan pemandu kawalan manual yang lebih baik semasa memandu dengan penuh tenaga.

Ciri-ciri keselamatan pada model ini terdiri daripada Brek Anti Kekunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) untuk ketiga-tiga varian yang turut dilengkapi dengan beg udara depan, sensor tempat letak kereta belakang dan titik penahan ISOFIX dengan top tethers. Tambahan pada varian Premium adalah Bantuan Kawalan Cerun, sensor tempat letak kereta hadapan, kamera undur dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS). Dengan pertambahan ciri-ciri keselamatan ini, Saga 2019 menjadi satu-satunya kereta yang berharga kurang daripada RM40,000 dilengkapi ESC dan TCS.

Pakej yang memberikan nilai tambahan kepada pembeli Saga

Sama seperti Proton X70, Iriz, Persona dan Exora 2019, Saga baharu ini menawarkan pakej Nilai Tambahan atau Extra Value. Terdapat tiga pakej Nilai Tambahan standard yang bermula dengan pakej servis yang menawarkan kos pekerja percuma sebanyak tiga kali atau selama satu tahun. Seterusnya adalah pakej kadar faedah dengan kadar pembiayaan serendah 2.98% setahun. Akhir sekali ialah pakej insurans yang menawarkan pelbagai manfaat kepada pelanggan yang menginsuranskan pembelian baharu mereka dengan panel PROTON.

Digabungkan dengan pengurangan harga dan nilai ciri-ciri baharu yang diperkenalkan dalam setiap varian, Saga 2019 Premium AT 1.3L memberi nilai tambahan sebanyak RM3,747 berbanding model sebelum ini. Bagi varian Standard AT 1.3L pula memberi penjimatan sebanyak RM2,043 manakala Standard MT 1.3L mempunyai nilai tambahan sebanyak RM2,291 untuk mereka yang membelinya.

- Tamat -

 

 

 

 

 

 

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun