SIARAN AKHBAR

10 Jun 2019
PROTON CAPAI ANGKA JUALAN TERTINGGI DALAM TEMPOH 46 BULAN

Subang Jaya, 10 Jun 2019 – Mei 2019 merupakan bulan bermakna bagi PROTON di mana Syarikat berjaya mencatat angka jualan tertinggi dalam tempoh 46 bulan. Sebanyak 10,611 unit kereta dijual pada bulan lepas, menghasilkan peningkatan sebanyak 51.3% berbanding April dan mendorong pertumbuhan jualan keseluruhan bagi lima bulan pertama tahun ini kepada lebih 70% berbanding tempoh masa sama pada 2018. Peratusan pegangan pasaran untuk bulan tersebut dianggarkan pada 17.2% menandakan satu lagi catatan cemerlang Syarikat sejak Januari 2016.

Pertumbuhan jualan didorong ciri-ciri pintar yang ditawarkan

Pertumbuhan jualan PROTON yang kukuh pada tahun 2019 diterajui oleh model-model yang menawarkan ciri-ciri pintar. Penyumbang utama pada pertumbuhan yang kukuh itu ialah Proton X70, SUV pertama Syarikat dan tentunya model yang menjadi pilihan utama bagi kelas SUV premium dan executive. Sebanyak 2,439 unit dijual pada bulan Mei dan secara keseluruhan, sebanyak 13,572 unit telah diserahkan kepada pelanggan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, yang bermaksud Proton X70 kekal sebagai peneraju pasaran SUV dalam jualan keseluruhan

Keberkesanan penawaran ciri-ciri pintar pada model-model Proton yang lain juga jelas dilihat dalam jualan bulan pertama Proton Persona dan Iriz 2019. Model terdahulu telah mengakhiri bulan tersebut dengan jualan sebanyak 2,972 unit manakala model terkini berjaya memperoleh jualan mengagumkan iaitu sebanyak 940 unit, mencatatkan angka tertinggi setakat ini selama tempoh lebih dua tahun. Dengan hampir 4,000 unit yang dijual, angka jualan untuk kedua-dua model baharu ini telah mencapai sebanyak 36% daripada keseluruhan jualan PROTON dan yang lebih penting, dengan lebih daripada 10,000 tempahan diterima setakat ini, dijangka terdapat lebih tempahan diterima dalam beberapa bulan yang akan datang. 

Selain daripada tiga model dengan ciri-ciri pintar, satu lagi model yang menunjukkan kenaikan semula jualan adalah Proton Saga. Merupakan model yang kekal berada dalam rangkaian Syarikat selama 34 tahun, jualannya telah melepasi 3,000 unit untuk bulan kedua berturut-turut. Dengan jualan sebanyak 3,610 unit pada bulan Mei 2019, jualan Saga telah meningkat sebanyak 41% secara keseluruhan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, menunjukkan trend positif yang kukuh untuk model itu di mana model ini yang menerima penambahbaikan ketara bakal diperkenalkan pada separuh kedua tahun ini.

"Dengan peningkatan jumlah jualan setakat ini sebanyak 70% pada tahun 2019, PROTON menerima hasil untuk pelaburannya pada produk-produk, kakitangan serta cawangan-cawangan jualan. Syarikat berharap dapat mengakhiri keseluruhan jualan di tempat kedua dalam bulan kedua berturut-turut apabila angka jualan industri keseluruhan dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan kami yakin dapat mengekalkan prestasi jualan yang mantap sepanjang tahun," kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON. 

Exora 2019 dan cawangan 3S/4S baharu untuk bantu menaikkan jualan pada bulan-bulan seterusnya

Salah satu daripada sorotan utama PROTON pada bulan Mei adalah pelancaran Exora 2019, model terbaharu Proton dengan tawaran ciri-ciri pintar. Didatangkan dalam varian Executive dan Premium serta dengan harga lebih murah berbanding model sebelum ini, MPV PROTON ini menawarkan tempat duduk untuk tujuh orang dewasa, satu-satunya model dilengkapi enjin turbo dalam segmen pasarannya serta prestasi dan pengendalian yang terkemuka.

Untuk bulan Jun, Syarikat akan menumpukan usaha jualannya untuk menaikkan jumlah jualan Exora disamping terus meningkatkan jualan model-model lain. Syarikat juga akan menambah lebih banyak cawangan 3S/4S untuk terus menjadi yang pertama memiliki jumlah rangkaian terbanyak berbanding pesaing-pesaingnya. 

"Strategi PROTON bagi separuh kedua tahun ini adalah untuk terus meningkatkan jualan Syarikat dengan memperkenalkan model-model sedia ada yang telah ditambahbaik serta meningkatkan pengalaman pelanggan dengan membuka lebih banyak cawangan 3S/4S kerana usaha ini telah mendapat maklum balas positif dari para pelanggan. Usaha-usaha ini akan membantu memastikan imej PROTON ditambahbaik di mana kami akan terus mentakrifkan semula nilai jenama sebagai persediaan untuk pengenalan lebih banyak model yang akan dihasikan bersama-sama dengan Geely pada masa akan datang," tambah Dr Li Chunrong. 

-Tamat-

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun