SIARAN AKHBAR

12 Jun 2019
PROTON SAMBUT KEDATANGAN MENTERI DARI CHINA KE KILANG TANJUNG MALIM

Tanjung Malim, 12 Jun 2019 Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Yang Berhormat Encik Miao Wei, tiba di kilang Tanjung Malim PROTON hari ini sebagai sebahagian daripada lawatan kerja beliau ke Malaysia. Mengiringi beliau ialah YB Tuan Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pegawai-pegawai kerajaan dari kedua-dua negara.

Lawatan tersebut telah dihoskan oleh Dato' Seri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON bersama Encik Li Shufu, Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group. Turut hadir ialah Dato' Mohammad Zainal Shaari, Pengerusi DRB-HICOM, serta Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato' Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON dan barisan pengurusan kanan PROTON.

Ketika lawatannya, beliau telah diberi taklimat mengenai perancangan perniagaan semasa dan masa depan PROTON sebelum menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara PROTON Edar Sdn Bhd, Altel Communications Sdn Bhd dan ECarX (Hubei) Technology Co. Ltd, China.

Teknologi Digital dan Ketersambungan menggerakkan mobiliti masa hadapan

Syarikat usaha sama yang baharu ini akan memberi manfaat kepada PROTON dalam pelbagai cara terutamanya bidang teknologi digital dan sistem sambungan kereta. Penggunaan ciri-ciri ini dalam bidang sambungan kereta kini menjadi trend antarabangsa dan dijangka menjadi salah satu pemacu utama jualan automotif pada masa akan datang. Ini menjadi antara sebab yang menginspirasikan PROTON untuk mengambil langkah berani melancarkan Proton X70 yang dilengkapi dengan ciri-ciri sambungan yang digunakan sebagai salah satu proposisi penjualan unik atau Unique Selling Propositions (USP).

Sehingga hari ini, selepas kejayaan pelancaran Proton X70 pada Disember 2018, Proton Iriz, Persona dan Exora 2019 turut berada di barisan model-model Proton yang dilengkapi dengan ciri-ciri sambungan yang menawarkan aplikasi pelbagai fungsi untuk pembeli-pembeli kereta.

"Dengan menandatangani perjanjian hari ini, PROTON mengambil langkah kehadapan dalam perancangannya untuk menjadi jenama automotif yang menawarkan produk-produk bertaraf global. Kerjasama seperti ini membolehkan Syarikat mendapat kedudukan yang lebih tinggi dalam penyelesaian ketersambungan kereta yang sedang berkembang pesat dan juga meningkatkan asas pengetahuan jurutera R&D di PROTON. Ia juga membolehkan kami meneroka pelbagai kemungkinan untuk mengembangkan penyelesaian ketersambungan ke pasaran eksport PROTON, terutamanya di negara-negara ASEAN yang berdekatan. Ini akan memberi PROTON satu kelebihan teknologi di mana industri automotif kini menuju ke peringkat seterusnya dalam penyelesaian mobiliti," kata Dato' Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON.

Pemasangan secara tempatan sedang dijalankan    

Berikutan pada kilang pemasangan baharu PROTON di Tanjung Malim yang bernilai RM1.2 billion kini semakin hampir siap dibina, pengeluaran percubaan telahpun dimulakan untuk Proton X70. Semakan akhir, cat dan pemasangan masih dalam proses siap sepenuhnya tetapi meskipun masih baharu lagi, para jurutera dan pekerja pengeluaran PROTON boleh menjalankan ujian atau percubaan secara semi automatik untuk mendapatkan pengalaman dalam memasang SUV pertama Syarikat.

"PROTON berhasrat untuk memulakan pengeluaran X70 di Tanjung Malim pada separuh kedua tahun ini, jadi kami berusaha keras untuk memastikan Syarikat mampu mencapai sasaran yang ditetapkan. Ini akan menjadi pencapaian luar biasa kerana dalam masa kurang dari dua tahun sejak perjanjian antara DRB-HICOM dan Geely ditandatangani, Syarikat telah mencapai kejayaan penting dalam usaha bersama kami untuk mengembalikan PROTON ke kedudukannya yang semakin terkenal," tambah Dato' Sri Syed Faisal Albar.

-Tamat-

 

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun