SIARAN AKHBAR

29 Nov 2019
PELUMBA WANITA CIPTA SEJARAH UNTUK PASUKAN PROTON R3

Subang Jaya, 28 November 2019Kemenangan pasukan PROTON R3 yang meraih tempat pertama dan kedua pada perlumbaan Sepang 1000km (S1K) baru-baru ini telah menjadi buah mulut, namun apa yang paling memberi kejutan sewaktu perlumbaan sebenarnya adalah pencapaian dari pasukan terakhir pelumba R3. Pasukan tersebut terdiri daripada tiga pelumba wanita yang memandu Proton Saga iaitu Leona Chin, Faye Kusairi dan Nurul Husna, mendapat tempat ketujuh, merekodkan pencapaian terbaik daripada barisan pelumba wanita dan itu telah membuktikan keberanian dan kecekalan mereka menempuh satu perlumbaan yang mencabar.

Kemahiran dan semangat berpasukan yang mantap

Berbeza dengan pemandu R3 yang lain, ketiga-tiga pemandu wanita itu tidak mempunyai pengalaman bersaing bersama di dalam Siri Kejuaraan Malaysia (MCS). Faye dan Nurul dipilih melalui inisiatif pencarian pasukan pelumba wanita manakala Leona pula adalah pemandu profesional yang pernah bersaing di MCS. Acara S1K 2019 ini memperlihatkan mereka berkongsi memandu kereta yang sama buat kali pertama.

Meskipun mereka baru sahaja terlibat dengan R3 dan bekerjasama antara satu sama lain, kepantasan pemanduan ketiga-tiga mereka terbukti menonjol semasa sesi latihan, menetapkan masa yang meletakkan mereka di kedudukan lapan teratas secara konsisten. Walau bagaimanapun, terdapat masalah teknikal pada sesi kelayakan, yang memerlukan mereka bermula di belakang garisan kelas M-Pengeluaran.

Memulakan perlumbaan di kedudukan ke-26 tidak sesekali mematahkan semangat mereka di mana ketiga-tiga mereka telah memandu dengan penuh berkemahiran dan kesabaran yang tinggi melalui strategi yang diatur ketika di dalam litar. Oleh itu, tidak hairanlah semasa Leona melepasi garisan penamat selepas sembilan jam mengharungi cabaran, mereka akhirnya layak meraih kedudukan ketujuh.

"Perlumbaan S1K ini memberikan pengalaman bermakna dan luar biasa bagi saya. Saya kagum apabila dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh meskipun berada di garisan ke-26 pada awal perlumbaan tetapi ini semua adalah disebabkan kepantasan Proton Saga serta gabungan kerjasama dari kami. Secara jujur, sekiranya kami diberi peluang sekali lagi, saya rasa kami mampu untuk berdiri di atas podium," kata Faye Kusairi.

"Barisan pelumba wanita kami mempamerkan prestasi mantap dan kemahiran pemanduan yang baik untuk kembali berada di posisi hadapan. Ia adalah pencapaian hebat untuk berada di tempat ketujuh dalam perlumbaan S1K yang sangat mencabar dan ini merupakan penamat terbaik yang pernah dicapai pada perlumbaan yang melibatkan pelumba-pelumba wanita," kata Gary Lee, Ketua Pasukan PROTON R3.

Proton Saga membuktikan kehebatannya di litar lumba

Walaupun baru sahaja berada di dalam barisan kereta R3, Proton Saga 2019 telah membuktikan keupayaannya untuk menjadi kereta litar yang pantas. Kitaran tempoh pembangunannya yang singkat, dilancarkan pada 6 Ogos 2019, bermakna pasukan R3 perlu berhadapan dengan cabaran besar untuk mempersiapkan model tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan, namun hasilnya membuktikan bahawa Saga amat sesuai untuk sukan permotoran.

"Proton Saga adalah model yang sinonim dengan PROTON dan merupakan kereta pertama yang digunakan dalam sukan permotoran. Mungkin kini Syarikat lebih memilih model-model lain tetapi sejak tahun lepas, kami telah menggunakan semula Proton Saga di dalam perlumbaan MCS dan S1K 2018. Saga terbaharu ini telah dipertingkat sepenuhnya dan dengan tempoh masa yang sangat singkat, hasilnya sangat mengagumkan. Oleh itu, ini membuktikan prestasi hebat Proton Saga dalam pelbagai kegunaan, dari kereta harian, kepada kereta keluarga serta turut mampu bersaing dalam perlumbaan terbesar di Malaysia, menjadikan model ini benar-benar sesuai untuk rakyat di Malaysia," kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

 

-Tamat-

 

 

 

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun