SIARAN AKHBAR

25 Nov 2019
PASUKAN PROTON R3 MERANGKUL JUARA DAN NAIB JUARA PADA PERLUMBAAN SEPANG 1000KM

Subang Jaya, 25 November 2019 – Pasukan Proton R3 (R3) menamatkan musim 2019 dengan jayanya apabila memenangi perlumbaan Sepang 1000km (S1K) untuk tiga tahun berturut-turut. Proton Iriz 2019 yang dipandu oleh Mitchell Cheah dan Fariqe Hairuman menguasai perlumbaan walaupun dalam keadaan yang mencabar di mana kereta keselamatan (safety car) perlu di bawa ke litar perlumbaan untuk keselamatan pelumba-pelumba memandangkan keadaan cuaca yang buruk. Berikutan itu, perlumbaan hanya berakhir selepas sembilan jam dan bukannya 181 pusingan seperti yang dijadualkan. Kegembiraan bertambah untuk pasukan R3 apabila Proton Saga 2019 yang dipandu Syafiq Ali dan Admi Shahrul dinobatkan di kedudukan kedua.

PROTON merupakan pengeluar kereta terbaik di perlumbaan S1K

Dengan kemenangan untuk tiga kali berturut-turut serta yang kelima secara keseluruhan perlumbaan S1K, PROTON menjadi syarikat pengeluar paling berjaya dalam sejarah acara itu. Rekod itu membuktikan kebolehan, pengendalian dan prestasi kereta Proton serta kemahiran, keprofesionalan serta kerjasama yang dipamerkan oleh pasukan R3 sebagai pasukan perlumbaan terkemuka di Malaysia.

"Untuk berjaya di dalam perlumbaan permotoran memerlukan gabungan beberapa faktor. Sebagai contoh, pengeluar kereta perlu memilih model-model yang bersesuaian untuk perlumbaan tersebut. Meskipun model yang sesuai telah dikenalpasti, masih sukar untuk memperoleh kejayaan di mana kereta-kereta tersebut perlu dibangunkan dan dinaik taraf serta keperluan kemahiran pasukan perlumbaan, bermula dari juruteknik sehinggalah kepada pemandu, juga perlu diambil kira. Ini semua memerlukan pelaburan dari segi masa serta kewangan dan kejayaan PROTON dalam bidang permotoran adalah bukti pelaburan yang dikeluarkan untuk pasukan R3 merupakan langkah yang bijak," kata Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Pemandu wanita menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh

Terdapat tiga penyertaan dari pasukan Proton R3 bagi perlumbaan S1K pada tahun ini dan kereta ketiga terdiri daripada pasukan wanita. Nurul Husna dan Faye Kusairi dipilih melalui peraduan Pencarian Pemandu Wanita MSF-R3 yang memberi peluang kepada pelumba-pelumba wanita yang bercita-cita untuk bersaing di dalam perlumbaan S1K. Pemandu utama pasukan itu ialah Leona Chin, merupakan pelumba wanita terpantas di Malaysia.

Isu teknikal yang berlaku semasa pusingan kelayakan membuatkan pasukan Proton Saga 2019 memulakan perlumbaan di kedudukan ke-26. Walaupun begitu, pelumba-pelumba wanita tersebut mempamerkan kemahiran dan semangat mereka yang luar biasa di mana akhirnya mereka menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh secara keseluruhan dan yang pertama di kalangan semua pemandu wanita.

"Pemandu-pemandu wanita kami menunjukkan prestasi yang begitu baik dan kami sangat bangga dengan pencapaian mereka. Dengan menduduki tempat ketujuh, mereka telah membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing di arena sukan permotoran yang didominasikan oleh lelaki dan PROTON bangga telah memberikan peluang kepada wanita-wanita di Malaysia untuk menonjolkan bakat mereka," kata Dr. Li Chunrong.

Kejayaan perlumbaan membuka jalan untuk meningkatkan prestasi jualan

Bak kata pepatah "menang pada hari Ahad, jual pada hari Isnin" merujuk kepada pepatah lama yang begitu lazim dengan dunia permotoran. Dengan kejayaan yang dicapai di dalam litar, produk-produk yang terlibat akan mencipta imej positif sekaligus membantu meningkatkan prestasi jualan.

"Dengan kemenangan sebanyak lima kali di 11 edisi perlumbaan S1K, PROTON membuktikan penguasaannya di acara itu. Perlumbaan sejauh 1,000km memerlukan kelajuan serta kebolehpercayaan dan model-model kami lengkap dengan kedua-dua ciri tersebut. Kami belajar melalui perlumbaan-perlumbaan terdahulu dan kemudiannya menambah baik di dalam produk kami demi menghasilkan kereta yang lebih baik. Kejayaan Iriz dan Saga 2019 dalam sukan permotoran membantu meningkatkan imej setiap model dan hasilnya, jualan Iriz meningkat sebanyak tiga kali ganda manakala Saga telah mencapai lebih daripada 35,000 tempahan sejak model itu dilancarkan," tambah Dr. Li Chunrong.

-Tamat-

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun