SIARAN AKHBAR

3 Oct 2019
PROTON 1 TANK ADVENTURE MENEROKA SARAWAK

PROTON 1 TANK ADVENTURE MENEROKA SARAWAK

Kuching, 3 Oktober 2019 - PROTON 1 Tank Adventure mengakhiri cabaran pusingan ketiga dan yang terakhir di Sarawak pada hujung minggu lalu. Jalan dilalui adalah yang paling singkat berbanding pusingan lain dengan perjalanan sejauh 450km dari Kuching menuju ke Damai dan kemudiannya ke penghujung tip negeri itu iaitu di Teluk Melano sebelum kembali ke Kuching. Perjalanannya lebih pendek, tetapi dengan keadaan jalan yang mencabar, lalu lintas yang sesak dan hujan lebat yang turun menjadikannya sukar bagi semua peserta di samping mereka juga turut perlu membawa kereta mereka menaiki feri merentasi sungai yang menambahkan lagi cabaran buat mereka.

Perjalanan yang penuh dengan cabaran

Sama seperti pusingan-pusingan sebelum ini, para peserta  1 Tank Adventure di Sarawak turut memandu Proton Iriz, Persona dan Saga, model-model yang dilancarkan pada lapan bulan pertama tahun ini. Sejajar dengan matlamatnya iaitu untuk meneroka negeri-negeri di Malaysia, laluan dari Kuching turut mempunyai pemandangan yang indah dari Warisan Dunia UNESCO sehinggalah hutan asli di situ.

Kebanyakan daripada jalan-jalan yang digunakan berliku-liku dengan lalu lintas yang sibuk jadi tahap kesabaran dan kemahiran pemanduan semua peserta diuji di sepanjang perjalanan. Pada hari pertama cabaran, aktiviti pemanduan dinamik diadakan di Stadium Sarawak dan berakhir di Kampung Budaya Sarawak, terletak di kaki bukit Gunung Santubong di Pantai Damai.

Pada hari kedua, aktiviti menumpukan lebih kepada pemanduan di atas jalan raya iaitu kira-kira 320km, dan perjalanan termasuklah merentasi sungai tetapi, semua kereta berjaya sampai dengan selamat ke titik penamat dengan hampir semua peserta menggunakan kurang daripada 30 liter bahan api selama dua hari. Ini adalah pencapaian yang mengagumkan kerana hujan pada kedua-dua hari menjadikan pemanduan agak sukar.

Keputusan terbaik yang dicapai, disahkan oleh pemerhati dari Festival Speed Malaysia (MSF), adalah 5.90L/100km (awam) untuk Persona, 5.74L/100km (media) untuk Saga dan 5.49L/100km (awam) untuk Iriz, satu keputusan mengagumkan kerana ini adalah kali pertama semua peserta menyertai cabaran 1 Tank Adventure.

Pemanduan Dinamik – Memahami Kereta Anda Dengan Lebih Mendalam

Meskipun kemenangan di dalam cabaran 1 Tank Adventure ini adalah berdasarkan kecekapan bahan api, cabaran turut membuka peluang kepada Syarikat untuk menonjolkan kelebihan lain yang ada pada kereta Proton dengan mempamerkan teknologi, prestasi dan pengendalian setiap kereta. Ciri-ciri ini kemudiannya dibuktikan melalui pemanduan dinamik, di mana telah memberikan keterujaan kepada setiap peserta yang melakukannya.

Aktiviti ini telah membuka mata hampir kesemua peserta kerana walaupun mereka menjangkakan bahawa kereta mereka sememangnya mampu menyelesaikan cabaran, hanya beberapa di antara mereka menyedari kemampuan dinamik yang terdapat pada model Proton milik mereka.

Hazimi bin Madini, pemilik Suprima S yang membeli Iriz 2019 untuk isterinya, Nur Sharim binti Farikh, kagum dengan kecekapan bahan api, reka bentuk, kestabilan dan ciri-ciri yang ada pada kereta baharunya itu.

"Isteri saya telah mengimpikan untuk memiliki Iriz 2019 kerana dia gemarkan rekaan model itu. Apabila saya mendapati bahawa kereta Proton dilengkapi dengan ciri pemanduan dan pengendalian yang hebat, saya terus mengambil keputusan membeli Iriz untuk isteri saya. Sepanjang acara ini, kami kagum dengan kecekapan bahan api kereta baru itu dan kini merasa lebih yakin daripada sebelum ini, di mana aktiviti pemanduan dinamik telah menunjukkan cara bagaimana untuk bertindak balas dalam situasi kecemasan," katanya.

Mengulas mengenai kejayaan pusingan akhir PROTON 1 Tank Adventure, Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON berkata, "Ini adalah kali pertama PROTON telah melakukan cabaran ini di Sarawak dan kami benar-benar menghargai sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan di Sarawak. Saya berharap melalui cabaran ini, lebih ramai rakyat Malaysia mendapati betapa cekapnya sebuah kereta Proton di samping mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kualiti lain yang telah menjadi tarikan pada semua rangkaian model Proton."

Saga 2019: Gaya Mengujakan, Penjimatan Bijak, Kestabilan Mantap

Dilancarkan pada 6 Ogos 2019, Saga 2019 adalah pengenalan terkini dalam model itu sejak 34 tahun yang lalu. Lebih 2,000,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan di seluruh Malaysia dan juga di pasaran eksport, menjadikannya sinonim dengan sejarah PROTON. Keluaran terbaharu telah diperbaharui secara komprehensif dan didatangkan dengan ciri-ciri seperti skrin sentuh berwarna 7 inci, panel utama yang baharu, paparan kombinasi meter baharu dan 3 port pengecas USB. Perubahan yang dilakukan ini telah terbukti menarik perhatian pembeli kereta di Malaysia di mana dalam tempoh sebulan lebih, terdapat lebih daripada 13,000 tempahan diterima, sekaligus meneruskan sejarah kejayaan kereta Malaysia yang paling popular.

Persona 2019: Sambungan Tiada Tandingan, Fungsi Praktikal, Keselamatan Terbukti

Dengan lebih daripada 11,000 unit yang telah diserahkan kepada pelanggan sejak ia dilancarkan pada 23 April 2019, Proton Persona menjadi sedan segmen B terlaris bagi bulan Jun dan Julai tahun ini. Secara visual, reka bentuk luarannya yang terkini berbeza dengan reka bentuk terdahulu. Pada bahagian dalaman, PROTON memperkenalkan sistem infotainmen pintar iaitu ciri pertama di dalam kelas. Menggunakan kad eSIM, ciri ini menawarkan aplikasi penstriman muzik, navigasi dalam talian dan pengecaman suara menerusi skrin sentuh 7 inci dengan paparan berwarna serta memori dalaman sebanyak 16GB. Digabungkan dengan harga yang memberi nilai penjimatan hebat serta pakej pelanggan yang komprehensif, model ini adalah pilihan tepat untuk keluarga yang mencari sebuah kereta bergaya, pelbagai fungsi dan memberikan sambungan maksima.

 

Iriz 2019: Sambungan Revolusionari, Reka bentuk terbaharu, Pemanduan responsif

Sebanyak 367 perubahan dilakukan pada Iriz 2019 berbanding model terdahulu, menunjukkan penambahbaikan yang besar dilakukan di dalam semua aspek. Model ini diberi rekaan baharu yang agresif di bahagian hadapan dan belakang serta menampilkan corak Ethereal Bow dan Infinite Weave yang menjadikan model ini menonjol di jalan raya. Iriz ini juga dilengkapi sistem infotainmen yang turut ada pada Persona dan sekaligus turut menawarkan pilihan sambungan yang sama seperti model sedan itu. Dengan menggabungkan kualiti dan kemasan yang lebih baik dengan peralatan bertaraf tinggi dan sebuah keseronokan pada Iriz ini yang telah memenangi banyak peminat baharu, telah meningkatkan jualannya sebanyak tiga kali ganda berbanding model sebelum ini.

-Tamat-

 

 

 

 

 

 

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun