SIARAN AKHBAR

12 Feb 2020
PROTON LANCAR PROTON X70 2020

Subang Jaya, 12 Februari 2020 – PROTON hari ini melancarkan Proton X70 2020 iaitu versi terbaharu kenderaan utiliti sukan (SUV) terlaris Syarikat. Dihasilkan melalui kilang pengeluaran yang baru dibina di Tanjung Malim, Proton X70 2020 ini dilengkapi pelbagai ciri dan teknologi terkini yang meningkatkan lagi proposisi nilai kenderaan tersebut.

 

Menjadi SUV pertama dikeluarkan di kilang Tanjung Malim, PROTON menetapkan sasaran yang sangat tinggi dari segi kualiti. Matlamat Syarikat adalah untuk meningkatkan standard kualiti berbanding versi pertama, yang mana telahpun berjaya dicapai oleh Syarikat melalui SUV buatan Malaysia ini apabila audit kualiti produk menunjukkan bahawa tahapnya kini telah melebihi standard generasi terdahulu.

 

Pengerusi PROTON, Dato' Seri Syed Faisal Albar berkata, "Proton X70 2020 adalah pencapaian besar Syarikat kerana ia bukan sahaja menjadi model pertama yang dihasilkan melalui kilang pengeluaran baharu tetapi juga kerana kami berjaya mencapai tahap kualiti lebih baik berbanding model yang kami lancarkan 14 bulan lalu".

 

Beliau turut menambah bahawa pengeluaran SUV tersebut adalah penting terutamanya dari perspektif pembuatan di mana ia menjadi bukti bahawa PROTON mampu menghasilkan kenderaan dengan kualiti bertaraf global. "Ini merupakan satu langkah besar kehadapan kami kerana menunjukkan bahawa kami sememangnya berkemampuan untuk memberikan proposisi produk yang bernilai setaraf dengan standard antarabangsa," ujarnya.

 

Dilengkapi teknologi baharu dan ciri-ciri yang dipertingkat

Proton X70 2020 diperkenalkan bersama beberapa ciri-ciri baharu untuk memberi tarikan kepada pelanggan serta dilengkapi teknologi baharu yang menjadikannya sebuah kenderaan yang lebih kompeten. Ini termasuklah peningkatan penghasilan tork, penggunaan bahan api yang lebih cekap serta pengenalan kotak gear baharu.

 

Penambahbaikan teknologi yang paling ketara ialah pengenalan Transmisi Klac Berkembar tujuh-kelajuan (7-DCT) bagi menggantikan Transmisi Automatik enam kelajuan (6AT) yang digunakan sebelum ini. Antara yang lain dan disebabkan oleh hasil nisbah yang lebih tinggi, kotak gear baharu ini dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 13% kepada 7.6l/100km. Ini juga menjadikan penukaran gear lebih lancar dan cepat yang mana menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih unggul.

 

Dengan meletakkan kotak gear 7-DCT baharu membolehkan jurutera PROTON menggunakan talaan enjin baharu, sekaligus meningkatkan penghasilan tork. Proton X70 2020 kini menghasilkan tork 5% lebih banyak, iaitu tujahan sehingga 300Nm. Dikombinasikan pula dengan kadar penukaran kotak gear yang lebih pantas, SUV ini mampu mengurangkan 1 saat dari 0-100km/j, membolehkannya memecut dalam masa 9.5 saat.

Selain daripada penambahbaikan mekanikal, PROTON turut menambahbaik bahagian dalaman kenderaan tersebut. Bagi varian Premium dan Premium X, kedua-duanya kini dilengkapi kerusi hadapan berventilasi yang membolehkan aliran udara dari pemandu dan penumpang kerusi hadapan.

 

Bagi menambah lagi fungsi praktikaliti Proton X70 2020 adalah dengan adanya but belakang elektrik, yang boleh didapati bermula daripada varian Eksekutif. Ciri ini menawarkan laras ketinggian yang memudahkan pengguna membuka but di mana turut dilengkapi sensor kaki, bagi varian kedua teratas. Bagi kesemua varian pula, tempat duduk belakang boleh lipat kini boleh direbahkan di mana pengguna boleh menyesuaikan kerusi belakang mengikut keselesaan sendiri.

 

Dibina dan diuji mengikut keutamaan pengguna di Malaysia

Proton X70 2020 telah diuji secara teliti untuk memastikan model ini dapat menempuh keadaan pemanduan jalan raya sebenar yang dihadapi oleh pengguna jalan raya di Malaysia. SUV itu juga telah diuji kebolehannya oleh jurutera-jurutera pembangunan PROTON dengan pandu uji lebih daripada 2 juta kilometer untuk memastikan keteguhan kenderaan itu dan sistemnya.

 

Berdasarkan prestasinya ketika menjalani ujian di Malaysia, pemanduan 2020 Proton X70 juga telah ditambahbaik melalui penyesuaian yang dilakukan pada suspensinya. Ini telah menghasilkan pengalaman memandu yang lebih baik dan mengagumkan, sesuai dengan aspirasi jenama yang berkelas premium. PROTON juga berkata perbezaan penting dengan model terbaharunya adalah banyak, dan hampir semua perubahan dalaman yang dibuat adalah berdasarkan maklum balas pelanggan yang meluas, diperoleh daripada pelanggan sedia ada dan kumpulan fokus.

 

"Kami ingin memastikan permintaan pelanggan dapat dipenuhi melalui Proton X70 2020 dan banyak ciri baharu yang anda dapat lihat ini adalah berdasarkan kepada apa yang pelanggan inginkan. Ini adalah penting bagi kami kerana kejayaan Syarikat untuk maju ke hadapan akan ditentukan dengan cara kami mendengar pandangan pelanggan dan yang lebih penting lagi, berapa pantas kami dapat bergerak untuk memenuhi tuntutan pasaran," kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

 

“Pelancaran Proton X70 2020 juga menandakan PROTON telah melengkapkan barisan model-model sedia adanya. Pada 2019, Syarikat telah melancarkan versi terbaharu Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga dan selepas pada hari ini, setiap model yang dijual oleh PROTON telah dikemaskini dan dihasilkan di Malaysia," katanya.

 

Tawaran pilihan empat varian dengan harga yang berbeza

Sama seperti versi sebelum ini, Proton X70 2020 ditawarkan dalam empat varian berbeza meskipun barisan model tersebut telah diperbaharui. Varian Standard masih ditawarkan kepada pelanggan dan diikuti oleh Eksekutif. Eksekutif AWD telah digugurkan, jadi varian seterusnya ialah Premium dan Premium X dengan pilihan tambahan.

 

Semua varian menawarkan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) yang mula diperkenalkan melalui model terdahulu. Melalui kemudahan kad eSIM, sistem ini menawarkan penstriman muzik dalam talian, navigasi, ramalan cuaca dan pengecaman suara melalui skrin sentuh bersaiz 8 inci Android. Fungsi lain yang turut kekal pada versi terbaharu ini adalah aplikasi Proton Link, yang membolehkan pemiliknya terus berhubung dengan kenderaan mereka melalui peranti mudah alih mereka dan mencipta profil memandu berdasarkan jarak perjalanan, kecekapan bahan api dan masa perjalanan disamping turut memberi maklumat mengenai jadual servis kenderaan mereka.

 

Setiap model 2020 Proton X70 dikuasai oleh enjin 1.8 liter dengan teknologi Suntikan Terus Bahan Api Pengecas Turbo (TGDI). Seperti yang dinyatakan sebelum ini, penghasilan tork telah dipertingkat sebanyak 5% kepada 300Nm dari 1,750 hingga 4,000rpm. Janaannya kekal pada 184 PS pada 5,500 rpm tetapi kini menggunakan kotak gear Transmisi Klac Berkembar tujuh kelajuan (7-DCT). Gabungan ini menghasilkan kecekapan bahan api sebanyak 13% dan telah dianugerahkan status kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

Untuk menjamin keselamatan setiap penumpang adalah melalui ciri-ciri yang komprehensif ini. Semua varian dilengkapi dengan enam beg udara SRS, tempat duduk belakang yang mempunyai ISOFIX beserta penambat utama, Sistem Brek Anti-Kekunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Penahan Brek Auto, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HHA), Kawalan Turun Bukit (HDC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

 

Seperti model sebelum ini, kamera 360 ditawarkan pada varian Eksekutif, Premium dan Premium X namun Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS) dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) hanya ada pada dua varian teratas.

 

Dilengkapi sistem keselamatan aktif dan kognitif termasuklah Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Amaran Keluar Laluan (LDW), Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS), Sistem Amaran Buka Pintu (DOW) dan Kawalan Lampu Suluh Pintar (IHBC), ciri-ciri ADAS ini memberikan tambahan jaminan keselamatan bagi membantu mengurangkan risiko kemalangan. Secara keseluruhannya, melalui ciri keselamatan komprehensif yang ada, Proton X70 2020 ini telah mendapat penarafan keselamatan 5-bintang oleh ASEAN NCAP.

 

Harga Proton X70 2020 adalah bermula pada:

 

2020 Proton X70 Standard 2WD – RM94,800

2020 Proton X70 Executive 2WD – RM106,800

2020 Proton X70 Premium 2WD – RM119,800

2020 Proton X70 Premium X 2WD – RM122,800

 

 

-Tamat-

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun