SIARAN AKHBAR

26 Feb 2020
PROTON MEMBERI GANJARAN SEBUAH KERETA KEPADA PELANGGAN SETIA

Subang Jaya, 26 Februari 2020 - Dengan menghantar Proton Iriz miliknya ke Pusat Servis Kecemerlangan PROTON di Subang Jaya bagi melakukan penyenggaraan berjadual, Azrul Firdaus Bin Ramli, seorang jurutera jaminan kualiti berusia 30 tahun dari Bukit Jalil, memastikan kereta beliau telah diservis dan diperiksa dengan baik oleh pasukan juruteknik PROTON yang terlatih. Hari ini, beliau telah menerima sesuatu yang istimewa apabila namanya diumumkan sebagai pemenang bagi peraduan Servis & Menang PROTON dan membawa pulang sebuah Proton Saga Premium AT baharu.

 

Dengan tujuan untuk memberi ganjaran kepada pemilik kereta Proton yang menghantar kereta mereka untuk diservis secara tetap dan bagi mengetengahkan lagi pusat-pusat servis Syarikat yang diiktiraf, Peraduan Servis & Menang ini mendapat kerjasama daripada PETRONAS dan telah berlangsung dari 15 Ogos hingga 15 November tahun lalu. Lebih daripada 125,000 pelanggan telah menghantar kereta mereka dalam tempoh peraduan tersebut dan peserta yang layak dikehendaki memuat naik gambar kereta mereka di Facebook dan disertakan dengan keterangan gambar yang kreatif. Kemudian, Pengurusan PROTON akan memilih pemenang berdasarkan kreativiti mereka.

 

Khidmat selepas jualan menjadi landasan untuk menghargai pelanggan

Dalam tempoh dua tahun yang lalu, PROTON bekerja keras mencari rakan kongsi untuk menambah jumlah pusat 3S/4S dalam rangkaiannya. Hari ini, Syarikat mempunyai sebanyak 121 cawangan, iaitu jumlah yang dijangka akan meningkat dengan sasaran sebanyak 150 cawangan menjelang akhir tahun ini.

 

"Hubungan antara sebuah jenama automotif dan pelanggannya bermula daripada penjualan sebuah kereta. Dalam tempoh kitaran pemilikan selama lima tahun, pelanggan akan kembali untuk melakukan servis atas pelbagai sebab dan ini dilihat sebagai peluang untuk PROTON menonjolkan pengalaman jenamanya yang premium. Strategi ini telah mendorong Syarikat untuk melabur dalam rangkaian 3S/4S yang komprehensif dan dalam pada masa yang sama membantu memastikan kereta-kereta dijaga dengan baik oleh juruteknik terlatih, yang mana akan meningkatkan nilai Syarikat dalam jangka masa panjang," kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

 

Untuk memastikan perkhidmatan pelanggan dan selepas jualan dikekalkan pada tahap yang tinggi, PROTON meneruskan inisiatifnya melabur dalam program latihan khusus untuk juruteknik serta kakitangan jualan dan selepas jualan. Syarikat juga membuat tanda aras terhadap jenama premium lain untuk turut melakukan amalan terbaik dalam industri dan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan yang disediakan di semua cawangan.

 

 

-Tamat-

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun

Stay Home, Stay Safe

Book your PROTON Online from RM9.99*.