SIARAN AKHBAR

28 Jul 2020
PROTON SAGA EDISI ULANG TAHUN HABIS DIJUAL DALAM TEMPOH HANYA 5 HARI

Subang Jaya, 28 Julai 2020 – Proton Saga Edisi Ulang Tahun yang dilancarkan pada 9 Julai baru-baru ini bagi menyambut Ulang Tahun ke-35 kereta keluaran tempatan yang pertama, telah mendapat sambutan hangat daripada pembeli. Kesemua 1,100 unit keluaran khas model itu berjaya dijual dalam hanya tempoh 5 hari, membuktikan semangat kecintaan rakyat di negara ini terhadap ikon kebangsaan itu.   

Tampil dengan pelbagai keunikan asli seperti badan kereta berwarna hitam yang diserlahkan lagi dengan jalur kuning pada kedua-dua bahagian dalam dan luar kereta, edisi istimewa daripada PROTON ini turut dilengkapi dengan Penapis Kabin N95. 

Mengukuhkan ekonomi Malaysia
Menjadi kereta pertama dikeluarkan di Malaysia, Proton Saga telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan mobiliti persendirian mampu milik. Saga juga telah membantu mengembangkan komuniti pembekal negara serta merangsang peningkatan dalam industri pembekalan dan perkhidmatan kepada seluruh industri automotif sama ada tempatan mahupun serantau. 

Selain itu, ia juga telah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan di samping memperkenalkan kemahiran baharu kepada rakyat Malaysia. Dianggarkan lebih daripada 100,000 jurutera telah memainkan peranan dalam membangunkan, mengeluarkan dan membaiki kereta Proton selama lebih 35 tahun, membuktikan kredibiliti bahawa PROTON dan industri kereta adalah antara pemacu utama kepada ekonomi Malaysia. 
 
Kekal menjadi pilihan dalam kalangan rakyat Malaysia
Sejak 35 tahun pelancarannya, Proton Saga terus menjadi antara model utama dalam rangkaian PROTON. Hari ini, Saga kekal  menjadi model paling popular PROTON dan pada bulan Jun 2020, sebanyak 4,447 unit telah berjaya dijual merupakan yang tertinggi dalam tempoh 70 bulan dan membuktikan bahawa selama hampir setahun selepas pelancarannya, Proton Saga 2019 pada hari ini masih relevan untuk pembeli kereta di Malaysia. 
 
“Melihatkan keadaan di Malaysia yang sedang berada dalam fasa pemulihan, PROTON berasa terharu dengan sokongan daripada pelanggan. Malahan, kami turut berasa terkejut apabila Saga Edisi Ulang Tahun ini mendapat sambutan hangat dan kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua. Ini merupakan hadiah hari jadi ke-35 yang paling istimewa buat model yang telah banyak menabur jasa kepada rakyat Malaysia, justeru itu, kami ingin berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mengeluarkan lebih banyak produk seperti ini pada masa akan datang,” kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON. 

-Tamat- 
 
 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun