SIARAN AKHBAR

3 Jun 2020
PROTON MENUNJUKKAN TANDA AWAL PEMULIHAN ANGKA JUALAN

Subang Jaya, 3 Jun 2020 – Ketika syarikat-syarikat automotif kembali memulakan operasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), industri automotif di Malaysia telah mengambil langkah-langkah sementara untuk kembali pulih pada bulan Mei. Dengan hampir sebulan penuh jualan beroperasi, pencapaian jualan terlihat atas usaha tersebut.

 

Pada Mei 2020, PROTON telah menjual sebanyak 5,676 unit kereta, dengan pegangan pasaran dianggarkan sebanyak 23.3%. Bagi bulan sama pada tahun 2019, jualan Syarikat telah dicatatkan sebanyak 10,611 unit iaitu menunjukkan perbezaan sebanyak 46.5% sekaligus menggambarkan keadaan pasaran yang mencabar akibat penularan wabak COVID-19.

 

Meneruskan aliran positif sepanjang tahun 2020

Dengan menjual sebanyak 5,676 unit pada bulan Mei, jualan PROTON meningkatkan 73.2% berbanding Mac 2020 meskipun Syarikat perlu mematuhi piawaian prosedur operasi sepanjang PKPB. Jumlah jualan PROTON yang dicatatkan dari awal tahun sehingga kini berkurangan sebanyak 23.3% untuk lima bulan pertama tahun ini dan bagi Jumlah Keseluruhan Industri pula dianggar turut menyusut sebanyak 48.7% bagi tempoh sama.

 

Dari segi kedudukan pasaran dan pegangan pasaran pula, PROTON kekal sebagai jenama kedua terlaris di Malaysia dengan jumlah pegangan pasaran setakat ini pada 21.1%, iaitu masih selari dengan sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini.

 

Barisan model Proton terus mendahului segmen pasaran

Prestasi jualan PROTON pada bulan Mei adalah disebabkan empat model Syarikat yang mencatatkan jualan tertinggi dalam segmen pasaran masing-masing. Proton X70 kekal menjadi SUV segmen C terlaris di negara ini dan jumlah kumulatifnya pada tahun ini juga menunjukkan SUV itu adalah yang terlaris secara keseluruhan.

 

Dikeluarkan melalui kilang baharu di Tanjung Malim, model tersebut telah dinaiktaraf pada Bulan Mei lalu dengan penambahan penapis kabin N95 iaitu Sistem Pembersih Udara Pintar PROTON (P-IAPS). Penapis baharu tersebut turut ditawarkan kepada pemilik sedia ada Proton X70 untuk menggantikan sistem penapis kenderaan mereka.

 

Syarikat terus mencatat prestasi terbaik apabila Proton Saga turut menjadi model pilihan pembeli di Malaysia pada bulan Mei. Ini adalah pencapaian kali pertama bagi model tersebut dan turut meletakkan ia sebagai sedan segmen A paling popular pada bulan lalu. Selain itu, model Proton lain yang turut mencatat jualan cemerlang adalah Proton Persona yang merupakan model terlaris bagi sedan segmen B sementara Proton Exora kekal menjadi pilihan utama bagi pasaran MPV segmen C.

 

“Perintah PKP dan PKPB yang dikeluarkan merupakan kali pertama di dalam sejarah Malaysia dan telah memberi kesan kepada setiap aspek ekonomi negara. Industri automotif kini sedang beransur-ansur pulih namun seperti yang dijangkakan, bulan pertama adalah tempoh penyesuaian kerana perlu mengamalkan normal baharu yang melibatkan seluruh aspek operasi Syarikat.

 

"PROTON bersyukur kerana jualan Syarikat tidak begitu terjejas seperti yang dijangkakan dan kami juga ingin berterima kasih kepada para pembekal Syarikat yang telah bekerja keras untuk memastikan kami dapat beroperasi semula seperti biasa dengan secepat mungkin. Kami menjangkakan beberapa bulan lagi diperlukan untuk mendapatkan ketepatan bacaan keadaan pasaran ekonomi tetapi kami yakin bahawa kita pasti akan dapat melihat peningkatan prestasi yang stabil untuk baki tempoh tahun ini,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

 

Tawaran menarik serta sokongan berterusan kepada petugas barisan hadapan pada bulan Jun

PROTON akan menawarkan nilai yang lebih baik pada bulan ini untuk menarik minat pembeli. Pelanggan yang membeli Proton X70 layak untuk menikmati pembiayaan percuma bagi tahun pertama, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

 

Bermula 10 Jun, PROTON juga akan memperkenalkan satu program khas bagi menghargai petugas barisan hadapan Malaysia khususnya para jururawat, doktor, anggota polis dan tentera serta kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Program Perlindungan Credit Shield menawarkan perlindungan insurans peribadi sehingga RM50,000 selama lima tahun termasuk kematian, kematian akibat kemalangan dan hilang upaya kekal kepada mereka yang layak yang membeli mana-mana model Proton.

 

"Pengorbanan para petugas barisan hadapan COVID-19 Malaysia adalah sangat tidak ternilai tetapi kami berharap agar tawaran yang diberikan sedikit sebanyak dapat menunjukkan penghargaan kami terhadap jasa yang ditaburi oleh mereka. Bagi pakej pembiayaan Proton X70, tawaran tersebut membuka peluang kepada lebih ramai pembeli di Negara ini untuk memiliki SUV premium Malaysia dengan harga yang lebih berpatutan dan kini lebih berbaloi dengan adanya penapis kabin N95 yang baharu,” tambah Dr Li Chunrong.

 

 

- Tamat -

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun