SIARAN AKHBAR

18 May 2020
BANTUAN SOKONGAN KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN

Subang Jaya, 18 Mei 2020 – Ketika Malaysia semakin hampir untuk menamatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tidak dinafikan bahawa jumlah jangkitan di negara ini yang dicatatkan semakin mendatar adalah hasil kerjasama daripada masyarakat dan kerja keras yang dilakukan oleh semua petugas barisan hadapan negara. Daripada doktor dan jururawat yang bertungkus-lumus melakukan saringan serta memberikan rawatan kepada mereka yang memerlukan sehinggalah anggota polis dan tentera yang mengawasi ribuan sekatan jalan raya sepanjang 24 jam di seluruh negara, masing-masing telah memainkan peranan penting dalam mengawal dan mengekang penularan secara besar-besaran yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

 

Pelbagai Syarikat Korporat di Malaysia telah turun padang dan menawarkan sokongan mereka dalam apa jua bentuk bantuan, seperti pembuatan PPE, pinjaman kenderaan serta sumbangan kewangan. PROTON juga tidak terkecuali dan memainkan peranannya sebagai pengeluar automotif nasional dalam membantu memerangi wabak COVID-19 ini.

 

Sokongan awal yang diberikan Syarikat tertumpu kepada bantuan bagi memudahkan keperluan logistik petugas barisan hadapan perubatan. Semasa PKP fasa pertama, sebanyak 50 unit Proton X70 telah dipinjamkan untuk dijadikan sebagai kenderaan bagi membawa para doktor, jururawat dan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjejaki ribuan individu disyaki kontak rapat yang berkemungkinan untuk dijangkiti. Kenderaan ini akan terus digunakan selagi mereka masih memerlukannya dan pada masa yang sama PROTON akan menyediakan perkhidmatan servis dan penyelenggaraan sekiranya perlu.

 

Seterusnya, PROTON turut menggunakan kelebihan daripada fasiliti reka bentuk dan pembuatan Syarikat untuk menghasilkan PPE. Melalui kerjasama KKM dan mengunapakai rekaan dari Universiti Teknologi Mara (UITM), pereka dari PROTON Design telah mencetak bingkai prototaip 3D dan setelah mendapat kelulusan, rekaan tersebut diserahkan kepada pengeluar yang akan menghasilkan bingkai tersebut daripada 1500kg polipropilena, hasil sumbangan oleh HICOM-Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd.

 

Sebanyak 60,000 pelindung muka telah dihasilkan dalam tempoh kurang daripada dua minggu dan penyerahan dilakukan bermula 16 April ke hospital-hospital di Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur yang lain. Peralatan ini dihantar melalui bantuan daripada Pos Logistics Berhad, Syarikat yang turut menyumbang kotak pembungkus untuk pelindung muka tersebut. Tambahan 60,000 pelindung muka turut dihasilkan khusus untuk petugas barisan hadapan lain termasuklah petugas yang mengawasi sekatan jalan raya dan diedarkan oleh syarikat induk PROTON iaitu DRB-HICOM.

 

DRB-HICOM juga memainkan peranan aktif dalam menyokong usaha menentang jangkitan COVID-19 di Negara ini. Antara sumbangannya adalah penyerahan wang sebanyak RM2 juta untuk membantu mendapatkan sumber yang diperlukan bagi menghentikan penularan wabak tersebut. Anak syarikatnya yang lain juga terlibat dalam inisiatif ini, membuktikan kegigihan syarikat bagi memainkan peranan utamanya.

 

Pemilik PROTON, Geely, turut bermurah hati menyediakan bekalan perubatan ke Malaysia. Syarikat Konglomerat antarabangsa itu telah menyumbangkan pelitup muka 3 lapis, pakaian pelindung, kacamata perubatan serta ventilator PL 700 ADV, yang telah diserahkan kepada KKM pada 30 April yang lalu. Barangan ini kemudiannya diedarkan ke 55 hospital di seluruh negara yang telah dikenalpasti oleh kementerian. Sumbangan yang dianggarkan bernilai RM5.5 juta itu, adalah sebahagian daripada dana berjumlah RMB200 juta, yang diperuntukkan oleh Yayasan Amal Li Shufu oleh pengasas Kumpulan Geely, Li Shufu.

 

Hari ini, meskipun Malaysia telah membuka semula ekonomi negara secara berperingkat, PROTON tetap bersedia untuk sekali lagi memberi sokongan kepada kerajaan sekiranya kadar jangkitan kembali meningkat. Syarikat tetap komited untuk melakukan apa sahaja bagi memastikan rakyat Malaysia kekal berada di dalam keadaan yang selamat, memperkukuhkan kedudukannya sebagai sebahagian penting dalam struktur nasional dan membuktikan bahawa Syarikat bukan sahaja menghasilkan kereta oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia tetapi juga akan tetap mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan Malaysia.

 

- Tamat -

 

 

 

DOWNLOAD PRESS HERE

Muat Turun

RM60,000* UP FOR GRABS!

Book your PROTON online from RM9.99* and WIN BIG with us!