SIARAN AKHBAR

28 Apr 2022
PROTON KEMBALI KE AFRIKA SELATAN

- Kumpulan CMH dilantik sebagai pengedar untuk PROTON
- Jualan eksport meningkat sebanyak 175% untuk suku pertama tahun 2022

Subang Jaya, 28 April 2022 – Pengeluar kereta nasional PROTON telah melantik Kumpulan CMH sebagai pengedar kenderaan Proton di Afrika Selatan. Penandatanganan itu, yang diadakan secara maya, akan memulakan proses penghantaran pertama kenderaan Proton (CBU) yang akan bakal dijual pada bulan September. Penghantaran pertama akan diketuai oleh Proton X50 dan Proton X70 dan ini akan diikuti dengan Proton Saga, yang kembali ke negara itu selepas jualan berakhir pada tahun 2012.

PROTON yakin dengan prospek jualannya di Afrika Selatan. Syarikat meramalkan jualan yang kukuh bagi tahun ini, dan menyasarkan lebih daripada dua kali ganda volumnya pada tahun 2023. Untuk suku pertama tahun ini, jumlah jualan eksport telah meningkat sebanyak 175% berbanding tempoh yang sama pada 2021. Jualan dijangka bertambah kerana syarikat bersasaran untuk meningkatkan eksport lebih daripada 300% pada akhir tahun ini.

Jenama dan model SUV meningkatkan jualan eksport
Pada tahun 2010, PROTON mengeksport 29,833 unit ke beberapa pasaran luar negara. Angka ini berkurang kepada hanya 248 unit pada 2017 walaupun volum mengalami peningkatan secara beransuran. Pada tahun lepas, 3,018 kenderaan Proton dijual di luar negara, iaitu lebih dua kali ganda daripada 1,508 unit yang dieksport pada tahun 2020. Untuk tahun 2022, Jabatan Jualan Antarabangsa bersasaran untuk meningkatkan jualan eksport kepada 10,000 unit.

Pertumbuhan sedemikian diperkukuhkan bukan sahaja dengan memasuki pasaran baharu tetapi juga meningkatkan operasi pemasangan (KD) di luar negara. Kini, PROTON mempunyai operasi sedemikian di Pakistan, Kenya dan Bangladesh, mana kala Sri Lanka akan bermula pada separuh kedua tahun 2022. Syarikat kini mengeksport kereta ke 13 pasaran luar negara sebelum kemasukkan Afrika Selatan.

Dari segi keseluruhan eksport kenderaan di Malaysia, prestasi PROTON semakin menonjol. Bermula dengan 12.8% daripada jumlah keseluruhan eksport pada tahun 2019, meningkat kepada 30.2% pada tahun 2020 dan mencecah 60.9% pada tahun 2021. Ini menjadikan jenama PROTON sebagai pengeksport kenderaan utama negara dan menunjukkan eksportnya terus berkembang walaupun keadaan pasaran yang sukar disebabkan oleh Covid-19.

“Matlamat jangka panjang PROTON memerlukan eksport memainkan peranan utama untuk mengembangkan jualan keseluruhan Syarikat kerana TIV di Malaysia dijangka tidak banyak berubah. Justeru itu, kami mengeksploitasi kekuatan produk baharu kami, jenama kami dan juga hubungan Malaysia dengan negara lain untuk bertapak di pasaran baharu. Ini kemudiannya diperkukuhkan dengan mewujudkan operasi KD di mana-mana yang berpotensi, yang juga dapat membantu mengembangkan ekonomi tempatan,” kata Steven Xu, Pengarah Jabatan Jualan Antarabangsa, PROTON.

Rangkaian model PROTON yang dipertingkatkan sejak 2018 dengan penambahan dua SUV yang dibangunkan bersama dengan Geely, merupakan satu lagi faktor peningkatan dalam jualan. Kejayaan jualan Proton X50 dan Proton X70 yang dinikmati di Malaysia turut direplikasi di pasaran lain, membantu mengukuhkan jenama Syarikat, dan membuka jalan kepada lebih banyak model untuk dieksport.

“Rangkaian model baharu kami menawarkan ciri termaju yang setanding dengan kebanyakkan pesaing daripada jenama lain dan di kebanyakan pasaran, Proton X50 dan Proton X70 berada di kedudukan teratas dalam kelas masing-masing dari segi spesifikasi. Namun ia dijual pada harga yang setara atau rendah daripada pesaing. Ini membantu menarik minat pembeli kereta yang bertaraf tinggi di pasaran itu dan membantu membina ekuiti jenama dalam pasaran dan seterusnya memudahkan produk kami yang lain diterima pada masa hadapan,” tambah Steven Xu.

-Tamat-

 

export volume of proton vs Malaysia

Proton Export Sales

Representatives of Proton

Virtual Signing Ceremony

x70 right wide premium

x50 flagship RGB