SIARAN AKHBAR

5 Dec 2022
PROTON MENGHASILKAN ENJIN 1.5 TGDI KE-10,000 DI TANJUNG MALIM

- Sasaran dicapai dalam tujuh bulan sejak pengeluaran bermula pada bulan April
- 126,682 unit jualan YTD pada bulan November adalah tertinggi dalam hampir sembilan tahun 

 


Subang Jaya, 5 November 2022 -  Jenama automotif nasional PROTON baru-baru ini meraikan pengeluaran enjin 1.5 TGDI ke-10,000 di barisan pemasangan enjin Tanjung Malim baharunya pada 1 Disember. Pencapaian ini hanya mrengambil masa selama tujuh bulan selepas unit pertama dikeluarkan pada bulan April tahun ini. Pada masa yang sama, hasil penghantaran 11,316 unit pada bulan November, PROTON juga telah mencapai jumlah jualan terbaiknya sejak 2013. Dengan 126,682 unit setakat ini, syarikat berada di landasan untuk memperoleh tahun jualan terbaiknya dalam masa sembilan tahun.

 

Barisan pemasangan baharu menyasarkan 60,000 enjin pada 2023

Kilang enjin 1.5 TGDI PROTON adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk melabur RM1.8 bilion untuk menaik taraf kemudahannya di Tanjung Malim dan kemuncak perjalanan yang bermula pada 2019 yang ditempuhi dalam keadaan yang mencabar. Setelah membuat keputusan untuk membina barisan pemasangan baharu di Tanjung Malim, pembinaan dan penghantaran komponen telah ditangguhkan berikutan permulaan pandemik Covid-19. Namun begitu, keputusan telah dibuat untuk menuju ke hadapan sementara negara menjalani perintah kawalan pergerakan. Pelan pengembangan operasi itu selaras dengan teras strategik pertama program DRB-HICOM Automotive High Technology Valley (AHTV) yang bertujuan memaksimumkan aktiviti pembuatan di rantau ini. 


Projek telah dijayakan oleh sepasukan jurutera PROTON yang menempatkan diri di Tanjung Malim untuk memulakan kerja pemasangan. Bekerjasama melalui perisian mesyuarat maya dengan pasukan daripada pembekal peralatan dan Geely di China, mereka bersusah payah membuka kotak komponen, memetakan barisan pengeluaran dan memulakan kerja pemasangan awal.

 

“Barisan enjin baharu PROTON adalah bukti ketabahan dan keazaman pekerja kami untuk mengatasi halangan dan mencapai matlamat kami. Ia adalah salah satu barisan pemasangan enjin paling maju di Malaysia dengan tahap automasi yang tinggi, persekitaran terkawal iklim dan pelbagai gerbang ujian untuk memastikan kualiti pengeluarannya. Pada 2023 kami menyasarkan pengeluaran 60,000 enjin, yang akan digunakan merentasi beberapa model Proton,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

Lima model melebihi volum tahun 2021 manakala jualan YTD meningkat 10.4% berbanding tahun 2021 
Bagi bulan November, PROTON mencapai 11,316 unit apabila syarikat bergelut dengan isu bekalan sementara yang membawa kepada penurunan sebanyak 13.1% berbanding bulan Oktober 2022. Namun begitu, dengan jualan tahun sehingga kini (YTD) pada 126,682 unit, satu pertumbuhan sebanyak 10.4% telah pun dicapai berbanding denagn keseluruhan 2021 dengan satu bulan lagi menjelang akhir tahun.

 

Pegangan pasaran bagi bulan November dianggarkan sebanyak 17.7% dan untuk tahun ini, PROTON mengekalkan pegangannya di kedudukan kedua dalam jadual jualan dengan 19.7% daripada jumlah jualan kenderaan. Dianggarkan juga Jumlah Volum Industri (TIV) untuk tahun 2022 akan mencatat rekod dan menghampiri 700,000 unit setelah pasaran automotif Malaysia menikmati bulan keempat berturut-turut melebihi 60,000 jualan.

 

Secara individu, lima model Proton telah melebihi jumlah volumnya dari tahun 2021 dengan dua model, Proton X50 dan Proton Exora, menerajui segmen masing-masing sepanjang tahun. Jualan eksport juga meningkat lebih 2,000 unit berbanding tahun sebelumnya kerana jualan YTD kini berjumlah 5,028 unit berbanding 3,018 bagi keseluruhan tahun sebelumnya.

 

“November merupakan bulan jualan penuh peristiwa untuk PROTON kerana kami mengalami beberapa isu bekalan sementara yang menghalang kami daripada mencapai potensi penuh kami. Kami yakin dapat membetulkannya pada bulan Disember dan kekal yakin untuk menutup tahun ini dengan kukuh.

 

“PROTON akan menamatkan tahun 2022 dengan pertumbuhan jualan tahun keempat berturut-turut. Selain daripada memberi manfaat kepada syarikat, peningkatan dalam jualan juga telah meningkatkan jumlah komponen yang dibeli daripada vendor tempatan, menambah bilangan pengedar kami dan mewujudkan pekerjaan untuk ekosistem automotif. Dengan pengenalan model baharu dalam perancangan untuk 2023, kami berharap dapat meningkatkan sumbangan kami kepada ekonomi Malaysia dengan membuat lebih banyak pelaburan tempatan, menjual lebih banyak kenderaan, dan mengembangkan lagi pasaran eksport kami,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

 

 

-Tamat-

 

 

 

Model

Jumlah unit terjual

Jumlah jualan 2022

Pencapaian jualan untuk Oktober 2022

Saga

4,100

49,965

Jualan kedua tertinggi sedan segmen-A

Persona

1,551 

14,035

Jualan ketiga tertinggi sedan segmen-B

Exora

329

3,837

Jualan tertinggi MPV segmen-C 

Iriz

402

5,182 

Jualan keempat tertinggi segmen-B hatchback

X70

1,210

16,746

Jualan kedua tertinggi SUV segmen-C

X50

3,724

36,917

Jualan tertinggi SUV segmen-B dan secara keseluruhan

Jumlah

11,316

126,682