- Enam belas kakitangan berlepas untuk berkhidmat selama enam bulan di Institut Penyelidikan Geely
Subang Jaya, 16 Disember 2022 – PROTON telah menghantar enam belas kakitangan ke Hangzhou, China, menyertai latihan selama enam bulan untuk mempelajari tentang kenderaan tenaga baharu (NEV). Program ini menempatkan mereka di Institut Penyelidikan Geely di Ningbo dan dilatih dalam pelbagai bidang yang melibatkan pembangunan, penyepaduan, pembuatan, dan jualan serta perkhidmatan untuk kenderaan generasi baharu yang bakal diperkenalkan secara beransur-ansur oleh jenama automotif nasional ini.
Ahli rombongan itu adalah kakitangan pertama yang menjalani latihan NEV dan terdiri daripada pekerja industri berpengalaman dan jurutera muda yang lulus dari Program Bakat Muda Syarikat. Lebih ramai kakitangan akan dihantar pada masa hadapan memandangkan PROTON memerlukan pengetahuan teknikal daripada Geely untuk membangunkan rangkaian NEVnya sendiri.
“Aabila PROTON dan Geely mula bekerjasama pada tahun 2017, salah satu matlamat perkongsian itu adalah untuk PROTON mempercepatkan jadual pembangunan modelnya dengan menggabungkan teknologi yang sedia ada daripada Geely. Matlamat itu berjaya dicapai dan kini, kami memanfaatkan pengalaman global kumpulan dalam NEV untuk memberi rangsangan kepada jadual masa pembangunan model kami sendiri.
“Perancangan awal kami adalah memulakan program ini lebih awal tetapi ia telah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. Walau bagaimanapun, dengan kelonggaran terhadap sekatan perjalanan baru-baru ini, PROTON kini boleh meraih manfaat sebagai salah satu jenama automotive kolektif yang paling pelbagai dan berfikiran ke hadapan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.
Pelaburan Modal Insan Untuk Membina Produk Yang Lebih Baik Untuk Rakyat Malaysia
Selain daripada melatih pekerja dalam pelbagai aspek NEV, latihan kerja di China akan membantu dalam menentukan spesifikasi akhir untuk produk seperti smart #1, EV pertama yang dijual oleh anak syarikat NEV PROTON, PRO-NET yang akan tiba pada suku keempat tahun 2023. Oleh kerana corak penggunaan dan tingkah laku pengguna berbeza dari negara ke negara, maklum balas daripada kakitangan Proton adalah penting untuk memastikan ia memenuhi keperluan pembeli Malaysia.
Memandang lebih jauh ke hadapan, program latihan ini akan membantu mengukuhkan usaha kerjasama apabila kakitangan PROTON terlibat dalam pelbagai bidang lebih awal dalam proses pembangunan untuk memperhalusi tawaran yang akan datang demi mencapai jangkaan pasaran tempatan. Matlamat utama bagaimanapun adalah untuk memperolehi pengetahuan dan kemahiran baharu yang akan membantu mengemudi hala tuju masa depan Syarikat untuk tahun-tahun akan datang.
Sebelum berlepas pada 10 Disember, setiap ahli kumpulan diberi peluang untuk bercakap dengan pengurusan kanan PROTON mengenai jangkaan dan matlamat mereka untuk program latihan tersebut semasa majlis pelepasan. Bagi kebanyakan ahli kumpulan, ini adalah kali pertama mereka bekerja di negara asing, tetapi mereka semua teruja dengan peluang yang diberikan dan komited untuk berkongsi pengalaman mereka dengan rakan sekerja apabila kembali nanti.
“PROTON melabur dalam pemerolehan pengetahuan untuk kakitangan kami kerana kami percaya ia adalah cara terbaik untuk Syarikat bergerak ke hadapan. Pengalaman dan latihan yang mereka perolehi bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Syarikat tetapi secara tidak langsung, ia juga akan membantu meningkatkan tahap kemahiran industri automotif Malaysia apabila lebih ramai kakitangan dihantar untuk latihan. Ini adalah salah satu sebab PROTON ditubuhkan, dan Syarikat berbangga kerana dapat memenuhi matlamat itu,” tambah Li Chunrong.