SIARAN AKHBAR

19 Jan 2022
PROTON GLOBAL SERVICES MELANTIK INDUSTRIAL LABS SEBAGAI PEMBEKAL SISTEM PV

- Tumpuan akan diberi kepada peningkatan penggunaan tenaga solar pada tahun 2023
- Pengurangan karbon antara inisiatif PROTON meningkatkan skor ESG 

 

Subang Jaya, 19 Januari 2023 - Proton Global Services Sdn. Bhd. (PGS), anak syarikat milik Proton Edar, telah melantik Industrial Laboratories Sdn. Bhd. (Industrial Labs) sebagai pembekal sistem solar fotovoltaik (PV) yang kedua untuk mengembangkan penggunaan tenaga solar dalam rangkaian pengedar dan vendornya. Pelantikan itu adalah sebahagian daripada inisiatif kelestarian tenaga pembuat kereta nasional yang berusaha untuk menurunkan pelepasan karbonnya untuk meningkatkan skor ESG.

 

Semasa majlis menandatangani perjanjian yang diadakan baru-baru ini, kedua-dua pihak menerangkan tentang usaha kerjasama untuk mengembangkan penggunaan tenaga solar di Malaysia. Selain menceburi pelbagai aktiviti perniagaan, PGS juga melaksanakan pengoptimuman tenaga dan solusi tenaga lestari untuk PROTON. Industrial Labs ialah pembekal utama dan pembekal perkhidmatan solusi tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia dengan pengalaman di seluruh Asia Tenggara.

 

“Tenaga baharu adalah salah satu aktiviti perniagaan teras untuk PGS. Selain daripada mempromosi dan melaksanakan penggunaan tenaga solar kepada pengedar dan vendor kami, kami juga telah menyelia pemasangan sistem solar di kilang PROTON di Tanjung Malim yang mampu menghasilkan 12MWp dan menjana potensi penjimatan bil tenaga sehingga RM3.5 juta setahun untuk PROTON selama 25 tahun.

 

“Dengan penambahan Industrial Labs sebagai pembekal sistem PV, kami sedang berusaha untuk mempercepatkan penggunaan tenaga solar dalam rangkaian pengedar dan vendor PROTON pada tahun 2023 untuk mengurangkan lagi pelepasan karbon syarikat” kata Lee Yeet Chuan, Ketua Pegawai Eksekutif PGS.

 

Menandatangani bagi pihak Industrial Labs ialah Shamsul Azhar Bin Zainuddin, Pengasas Bersama dan Pengarah Syarikat, yang menerangkan mengenai objektif yang lebih luas yang boleh dimajukan dengan peningkatan penggunaan tenaga suria.

 

“Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP27) di Mesir tahun lalu menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan peningkatan suhu global diminimumkan berbanding tahap pra-industri. Penyahkarbonan pengeluaran tenaga adalah salah satu inisiatif yang dipromosikan, dan itulah sebabnya kami gembira dapat bekerjasama dengan PGS kerana mempromosikan tenaga bersih seperti solar adalah satu langkah menuju ke arah yang betul,” katanya.

 

Di peringkat nasional, Malaysia telah komited untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 dan oleh itu, pengeluar seperti PROTON akan memainkan peranan penting untuk membantu mengurangkan tahap pelepasan karbon negara. 

 

“Dengan parameter ESG yang semakin popular setiap tahun, semua entiti korporat mesti berusaha untuk meningkatkan markah mereka dalam bidang ini. Di samping itu, PROTON sebagai jenama automotif nasional mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan aktif dalam membantu Malaysia mencapai matlamat neutral karbonnya menjelang tahun 2050. Itulah sebabnya kami akan terus mempromosikan lebih banyak inisiatif hijau dalam syarikat dan ekosistem kami pada masa akan datang yang terdekat,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

 

-Tamat-