SIARAN AKHBAR

4 Jul 2022
PROTON MENUTUP TIRAI SEPARUH TAHUN PERTAMA DENGAN JUALAN BULANAN TERBAIK BAGI TAHUN 2022

- 14,787 unit dijual pada bulan Jun, terbaik dalam tahun 2022 dan tertinggi sejak April 2021
- Proton X50 mencapai jualan bulanan tertinggi sejak dilancarkan

Subang Jaya, Julai 4 2022 – Jenama kereta nasional, PROTON, mencatatkan jualan bulanan terbaik iaitu 14,787 unit (tempatan + Eksport) didaftarkan pada bulan Jun selari dengan usaha Syarikat secara berterusan dalam menyelesaikan isu bekalan komponen. Prestasi ini merupakan peningkatan sebanyak 51.0% berbanding bulan lepas dan seterusnya meningkatkan jumlah jualan separuh tahun pertama kepada 60,124 unit, peningkatan sebanyak 3.9% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Secara keseluruhan, PROTON mengekalkan kedudukan di tangga kedua di dalam industri automotif dengan anggaran pegangan pasaran semasa sebanyak 22.6%. Manakala jumlah pegangan pasaran tahunan mencatatkan 18.2%, penurunan sebanyak 5.1% berbanding enam bulan pertama pada tahun lepas. Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 331,164 unit.


Proton X50 merekodkan jualan tertinggi bulanan dan 4 model menerajui segmen masing-masing

Sejak dilancarkan pada 27 Oktober 2020, jualan Proton X50 menjadi satu fenomena bagi PROTON, sehingga membantu Syarikat muncul sebagai pemimpin segmen SUV dalam negara. Pada bulan lepas, Proton X50 mencatatkan jualan bulanan terbaik dengan 4,473 unit didaftarkan dan menerajui SUV segmen-B dan keseluruhan pasaran SUV.


Tidak ketinggalan, pembaharuan bagi model X70 yang telah dilancarkan baru-baru ini, telah mencapai prestasi terbaiknya sepanjang tempoh 20 bulan dengan 2,969 unit yang turut membolehkannya mengekalkan posisi sebagai pemimpin jualan untuk SUV segmen-C.


Antara model lain yang turut menikmati manfaat dengan pembaharuan ialah Proton Saga 2022 yang diperkenalkan pada 12 Mei 2022. Sebanyak 5,460 unit telah didaftarkan pada bulan lepas, seterusnya melonjakkannya kembali ke tangga teratas bagi kelas sedan segmen-A dan memacu jumlah akumulatif jualan tahunan kepada 23,484 unit.


Peneraju segmen keempat bagi bulan Jun ialah Proton Exora, yang mengekalkan posisi nombor 1 di dalam kelas MPV segmen-C dengan 513 unit berdaftar. Akhir sekali, Proton Persona dan Proton Iriz mencapai jualan 1,224 unit dan 421 unit dan meletakkan mereka di posisi ketiga dan keempat dalam segmen masing-masing.


“Jun adalah bulan yang sibuk bagi industri automotif dengan kebanyakan jenama berusahamengeluarkan sebanyak mungkin kenderaan bagi memenuhi permintaan pasaran. Pengumuman bahawa insentif SST akan berakhir pada 1 Julai juga mendorong tempahan apabila pelanggan bergegas mengambil kesempatan daripada penjimatan yang ditawarkan. PROTON telah menerima lebih daripada 150,000 tempahan untuk enam bulan pertama tahun ini dan sekiranya ditambah kepada pesanan yang diterima pada tahun 2021, kami perlu bekerja keras dalam memastikan penghantaran kenderaan dilakukan dengan secepat mungkin seterusnya memenuhi pemintaan pelanggan.


“Kami bersyukur bahawa isu bekalan komponen dapat diselesaikan secara berperingkat, ia bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran, tetapi juga memberi impak positif kepada rangkaian selepas jualan. Seperti yang dijanjikan, semua cawangan 3S/4S kami kini mempunyai stok tiga bulan bagi komponen bergerak pantas (FMP) dan ini direplikasi di gudang alat ganti kami. Isu bekalan bagi komponen yang lain juga sedang diselesaikan, dan kami berharap dapat memberikan tahap perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik kepada pelanggan kami tidak lama lagi,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.


PROTON di Tangga Pertama Bagi Jualan Eksport Pada Tahun 2022

Disamping jualan domestik PROTON yang terus berkembang, jualan eksport pula bertumbuh dengan pesat. Sebanyak 636 unit dijual pada Jun membawa jumlah eksport bagi separuh tahun pertama 2022 kepada 2,722 unit, peningkatan sebanyak 81.2% berbanding tahun sebelumnya dan meletakkan Syarikat sebagai pengeksport utama dalam negara.

Proton Saga terus mendahului dengan 1,602 unit, peningkatan sebanyak 78%, namun begitu, Proton X70 dan Proton X50 berkembang dengan lebih lancak. Dengan 377 dan 100 unit dicapai pada bulan Jun, kedua-duanya mencatatkan angka eksport terbaik mereka dengan lebih banyak lagi akan dieksport untuk masa yang akan datang.

Bagi pasaran individu, Pakistan terus menjadi pasaran eksport terbesar dengan 1,770 unit bagi separuh pertama 2022, pertumbuhan sebanyak 183% berbanding separuh tahun pertama 2021. Ini diikuti oleh Brunei dan Bangladesh dengan masing-masing sebanyak 203 dan 194 unit.

“Eksport adalah salah satu tunggak utama dalam memacu pertumbuhan masa depan PROTON dan selari dengan komitmen kami kepada kerajaan untuk membantu membangunkan industri eksport automotif di Malaysia. Dengan penambahan pasaran baharu seperti Afrika Selatan ke dalam portfolio kami, kami menyasarkan volum eksport akan terus berkembang dan akan menyumbang lebih banyak jualan pada masa hadapan,” tambah Roslan Abdullah.



-Tamat-

PROTON Jun 2022 – Prestasi Model secara Individu ( termasuk eksport )


Model

Jumlah unit dijual

Jumlah jualan 2022

Pencapaian Jualan Bulanan

Saga

5,460

23,484

Jualan sedan segmen-A tertinggi

Persona

1,224

7,011

Jualan sedan segmen-B ketiga tertinggi

Exora

513

1,948

Jualan MPV segmen-C tertinggi

Iriz

421

2,543

Jualan hatchback segmen-B keempat tertinggi

X70

2,696

9,156

Jualan SUV segmen-C tertinggi

X50

4,473

15,982

Jualan SUV segmen-B dan segmen SUV keseluruhan tertinggi

Total

14,787

60,124



2020 Proton X50

Proton X50 and Proton X70 are ready for South Africa

2022 Proton X70 CinnamonBrown

En Roslan Abdullah