SIARAN AKHBAR

3 Nov 2022
PROTON MENGATASI JUMLAH JUALAN 2021 DUA BULAN SEBELUM AKHIR TAHUN

- 115,366 unit merupakan jumlah jualan tertinggi dalam tempoh lapan tahun
- Hampir 50,000 SUV Proton diserahkan tahun ini sementara X70 bakal meraikan harijadi ke-4 

 


Subang Jaya, 3 November 2022 - Pengeluar kereta nasional PROTON telah memulakan suku akhir tahun 2022 dengan pelbagai pencapaian. Sebanyak 13,013 unit (domestik + eksport) dijual pada bulan Oktober melonjakkan jualan kepada 115,366 unit untuk tahun 2022, mengatasi 114,708 unit yang dicapai sepanjang tahun 2021 dan ia merupakan hasil jualan terbaik Syarikat sejak tahun 2014. Pencapaian itu bermakna jualan YTD telah meningkat sebanyak 33.10% untuk sepuluh bulan pertama pada tahun ini dan angka itu dijangka terus meningkat dalam dua bulan terakhir tahun 2022. 

 

PROTON menduduki tempat kedua bagi bulan Oktober dalam pasaran dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 21.1%, manakala angka pegangan pasaran YTD telah merosot sedikit kepada 19.9%. Keseluruhan Jumlah Volum Industri (TIV) untuk Oktober dianggarkan melebihi 60,000 unit untuk bulan ketiga berturut-turut dan pasaran automotif Malaysia dalam perjalanan untuk memecahkan rekod jumlah jualan.


Jualan SUV PROTON hampir 50,000 unit manakala eksport cecah paras tertinggi dalam sembilan tahun

Tidak sampai empat tahun selepas melancarkan SUV pertama pada 12 Disember 2018, PROTON telah menguasai segmen ini dan muncul sebagai jenama SUV paling laris di Malaysia. Proton X50 sebagai peneraju jualan nasional bagi segmen itu, 3,602 unit telah diserahkan pada bulan Oktober dan ia kini mempunyai jumlah jualan 33,193 unit bagi tahun ini. Proton X70 mencapai 1,391 unit pada bulan lepas dan jumlah keseluruhannya kini sebanyak 15,536 unit. Oleh itu, 48,729 unit SUV Proton telah diserahkan setakat ini untuk tahun 2022. 

 

“Pertumbuhan volum empat tahun berturut-turut PROTON bersamaan dengan kemasukan jenama itu ke pasaran SUV dengan Proton X70. Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan walaupun terdapat pelancaran saingan baharu, model itu kekal sebagai peneraju kelas dan malah dinamakan sebagai SUV Besar Terbaik di Anugerah Pilihan Editor Carsifu 2022. Oleh itu, untuk meraikan ulang tahun yang ke-empat, kami menawarkan hadiah yang terdiri daripada aksesori bernilai RM1,499, kadar faedah serendah 2.52% dan banyak lagi tawaran menarik daripada pengedar kami jika pelanggan membeli Proton X70 di bulan November,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON. 

Walau bagaimanapun, model PROTON terlaris tetap Proton Saga. Sebanyak 5,262 unit telah diserahkan pada bulan Oktober, menjadikan jumlah jualan YTDnya 45,965 unit. Ini menandakan peningkatan sebanyak 42% berbanding tahun sebelumnya dan membuktikan model yang dikemas kini dan dilancarkan pada 12 Mei lebih popular di kalangan pelanggan berbanding model sebelumnya. 

Sementara itu, Proton Persona dan Proton Iriz menunjukkan peningkatan jualan. Dengan 1,697 unit diserahkan pada bulan Oktober, Proton Persona kini mendahului sebanyak 0.4% daripada jumlah volum pada tahun sebelumnya, manakala Proton Iriz mencapai 661 unit pada bulan lepas. Akhirnya, Proton Exora terus menerajui kelas MPV segmen C dan dengan 400 unit diserahkan, jumlah volum untuk tahun 2022 kini berada pada 3,508 unit. 

 

Selain daripada kejayaan pasaran tempatan, jumlah pertumbuhan volum PROTON untuk tahun 2022 juga telah dirangsangkan oleh prestasi bahagian eksportnya. Sebanyak 416 unit dieksport di bulan Oktober, meningkatkan jumlah volum eksport kepada 4,741 unit, prestasi terbaiknya sejak tahun 2013. Sama seperti jualan domestik, Proton Saga adalah model paling banyak dijual dengan 2,106 unit diikuti oleh Proton X70 dengan 1,608 unit setakat ini.

 

“Pertumbuhan bahagian eksport PROTON pada tahun 2022 adalah sejajar dengan hasrat kami untuk menembusi lebih banyak pasaran luar negara. Walaupun Malaysia tetap menjadi pasaran utama Syarikat untuk seketika masa akan datang, jualan eksport mempunyai lebih banyak potensi pertumbuhan yang belum diterokai, dan ini bersesuaian dengan sasaran pertumbuhan jangka panjang kami untuk menjadi jenama automotive utama di rantau ini,” tambah Roslan Abdullah. 

 

-Tamat-

 

Model

Jumlah unit terjual

Jumlah jualan 2022

Pencapaian jualan untuk Oktober 2022

Saga

5,262

45,865

Jualan kedua tertinggi sedan segmen-A

Persona

1,697

12,484

Jualan ketiga tertinggi sedan segmen-B

Exora

400

3,508

Jualan tertinggi MPV segmen-C 

Iriz

661

4,780  

Jualan keempat tertinggi segmen-B hatchback

X70

1,391

15,536

Jualan kedua tertinggi SUV segmen-C

X50

3,602

33,193

Jualan tertinggi SUV segmen-B dan secara keseluruhan

Jumlah

13,013

115,366