- Proton X70 dan X50 dilancarkan dalam acara yang menandakan kembalinya jenama tersebut di Negeri Pelangi
- Combined Motor Holdings mewakili jenama merancangkan 25 pengedar dalam tempoh enam bulan
Subang Jaya, 19 September 2022:
Sepuluh tahun selepas ia keluar dari pasaran, pengeluar kereta nasional
PROTON kini secara rasmi kembali ke Afrika Selatan. Pelancaran semula jenama itu berlaku pada acara yang
dianjurkan oleh Combined Motor Holdings (CMH), pengedar rasmi Proton, serentak dengan pelancaran
tempatan Proton X70 dan Proton X50. Kedua-dua model tersebut kini boleh didapati dalam model CBU di Negeri
Pelangi dan akan disertai oleh Proton Saga kemudiannya pada awal tahun 2023.
Semasa pelancaran, Jebb McIntosh, Ketua Pegawai Eksekutif CMH berkata, “Apabila jenama Proton terbuka
untuk pengedaran, CMH mengambil peluang atas beberapa sebab, terutamanya kerana kami mendapati
terdapat jurang dalam pasaran SUV yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Terdapat banyak jenama
mewah yang menjual SUV di Afrika Selatan, tetapi kebanyakannya tidak mampu dimiliki oleh pembeli kereta
biasa di sini”.
“Rancangan kami adalah menyediakan 25 pengedar dalam tempoh enam bulan. Sebanyak 17 cawangan
pengedar telah pun menjalani latihan jualan dan teknikal. Rangkaian penuh alat ganti juga sudah tersedia di
pusat pengedaran kami. Ini bermakna pelanggan kami boleh membeli kenderaan ini dengan yakin,” tambahnya.
Pertumbuhan dalam volum eksport penting bagi rancangan perkembangan PROTON
Jualan eksport kekal sebagai bahagian penting dalam rancangan perniagaan PROTON. Sedangkan syarikat itu
terus menuntut semula bahagian pasaran dalam pasaran automotif Malaysia, ia juga perlu mengeksploitasi
potensi yang terpendam dalam pasaran antarabangsa untuk menuju ke arah menjadi jenama automotif
terkemuka di rantau ini.
Bagi tahun 2022, jualan eksport pada akhir bulan Ogos berjumlah 4,040 unit, meningkat sebanyak 33.9%
berbanding dengan jumlah jualan bagi tahun 2021. Dengan penambahan Afrika Selatan dalam senarai pasaran
eksport, syarikat berharap dapat menamatkan tahun ini dengan peratusan pertumbuhan yang lebih tinggi.
"PROTON sedang giat mengembangkan jualan eksport kerana kami percaya ia adalah salah satu tonggak
kepada peningkatan jumlah keseluruhan kami. Terdapat banyak potensi untuk pertumbuhan dalam pasaran
antarabangsa, bukan sahaja untuk jenama Proton tetapi untuk industri automotif tempatan juga. Oleh itu, kami
ingin bertapak kukuh sementara pasaran ini masih boleh diakses. Matlamat kami adalah untuk mencapai 6,000
jualan eksport tahun ini dan sementara kami yakin mencapai matlamat ini, kami mesti gigih berusaha untuk
mengenal pasti rakan kongsi yang sesuai untuk memasuki lebih banyak negara bagi mencapai matlamat yang
lebih besar pada masa hadapan,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.