- Tempoh penghantaran alat ganti berkurang sebanyak 30% dengan jaminan ketersediaan stok
- Petumbuhan jualan disasarkan dengan pembukaan pusat baharu yang boleh menampung permintaan yang lebih
Subang Jaya, 27 Februari 2023 - Pengeluar kereta nasional PROTON mengumumkan pembukaan rasmi Pusat Alat Ganti Serantaunya di Kuching, Sarawak. Sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualan di Malaysia Timur, kemudahan itu boleh mengurangkan masa penghantaran alat ganti sekurang-kurangnya 30%, memastikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih tinggi.
Pusat Alat Ganti Serantau baharu PROTON terletak di kawasan Perindustrian Bintawa dengan keluasan 28,000 kaki persegi. Ia boleh menerima enam kontena berisi alat ganti di tapaknya secara serentak dan kini sedang memproses dalam purata 17 buah kontena sebulan yang menggunakan keupayaan sepenuhnya untuk menyimpan stok sehingga tiga bulan. Selain itu, ia juga mampu menerima penghantaran terus dari luar negara.
“Dengan peningkatan permintaan pelanggan sejak empat tahun lalu, kemudahan gudang PROTON di Malaysia Timur sebelum ini melimpah dengan alat ganti kerana keterbatasan ruang. Pusat Alat Ganti Serantau baharu di Kuching adalah tiga kali lebih besar daripada gudang sebelumnya dan akan berfungsi sebagai pusat pengedaran alat ganti untuk bahagian dan komponen selepas jualan untuk Sarawak serta Sabah jika perlu.
“Ruang tambahan itu juga membolehkan PROTON meningkatkan penghantaran sebanyak 50% daripada 3,000 tempahan sebulan kepada 4,500 tempahan sebulan dengan kapasiti maksimum sebanyak 6,000 tempahan sebulan sekiranya diperlukan. Ini membolehkan kami mencapai lebih banyak pengeluaran alat ganti dan buat masa sekarang kami sedang menyelesaikan tempahan yang tertunggak daripada pengedar dan pelanggan kami,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON, semasa menganjurkan lawatan ke Pusat Alat Ganti Serantau oleh pengedar Proton di Sarawak.
Memenuhi permintaan yang kukuh di Malaysia Timur dengan lebih sasaran pertumbuhan
Pada 2022, jualan kenderaan Proton di Malaysia Timur menyumbang sebanyak 15% kepada jumlah jualan syarikat manakala bahagian pasaran telah berkembang daripada 10% pada tahun 2018 kepada 20% pada tahun 2022. Ini merupakan satu peningkatan secara berterusan sejak tahun 2019 selepas memperkenalkan Proton X70. Populariti model siri X baharu bukanlah satu-satunya pemacu pertumbuhan syarikat, Proton Saga yang kekal sebagai model paling popular juga merupakan puncanya. Pada tahun lepas, tiga model Proton yang menduduki tangga teratas dalam jadual jualan di Malaysia Timur ialah Proton Saga dengan 10,242 unit diikuti Proton X50 dengan 4,181 unit dan Proton Persona dengan 2,605 unit.
“Proton menjual 7,697 unit di Malaysia Timur pada 2018 tetapi tahun lepas, sebanyak 19,844 unit telah dijual, iaitu bersamaan dengan pertumbuhan jualan sebanyak 158%. Kami menyasarkan untuk mencapai angka yang lebih besar tahun ini dengan peningkatan berterusan dalam perkhidmatan selepas jualan serta pelancaran model baharu dan dikemaskini yang berada dalam perancangan.
Kepuasan pelanggan kekal sebagai matlamat kami, dan kami tahu Proton masih perlu berusaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan selepas jualan kami. Setiap langkah positif yang kami ambil membawa kami lebih dekat kepada sasaran kami, dan kami kekal komited untuk menyediakan produk berkualiti tinggi untuk seiring dengan tahap sokongan selepas jualan yang sama tinggi,” tambah Roslan Abdullah.
-Tamat-